ANTARA video tular beberapa individu dan keluarga mendakwa dan mempercayai Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan
ANTARA video tular beberapa individu dan keluarga mendakwa dan mempercayai Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan
Muhammad Saufi Hassan dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan selain giat mempromosikan fahaman songsang di media sosial.

Itu adalah modus operandi satu ajaran yang dikenali sebagai 'ajaran SiHulk' yang sudah difatwakan oleh Majlis Agama Islam Johor sebagai ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan engan akidah serta syariat Islam.

Antara penyelewengan ajaran sesat itu ialah mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.

Terkini, ajaran itu giat menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fahaman mereka dengan pengakuan daripada beberapa individu dipercayai pengikut ajaran itu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

Ajaran sesat yang diasaskan oleh Suhaini Muhammad itu yang kini dipercayai berada di New Zealand namun, masih giat mempromosikan dakyah kumpulan berkenaan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ajaran itu jelas bertentangan dengah kalimah syahadah yang diucapkan oleh umat Islam kerana terdapat kontradiksi yang paling nyata.

"Dalam kalimah syahadah, kita menyatakan kesaksian bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT, maka itu jelas dan menjadi hujah paling kuat bahawa ajaran ini sudah terlalu jauh menyimpang.

"Mereka (ajaran SiHulk) ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah Tuhan sedangkan kalimah syahadah tidak menyatakan demikian, ini menunjukkan mereka adalah daripada golongan yang menyeleweng.

"Buat masa ini, kita (di Pahang) masih belum menerima sebarang laporan aktiviti atau kegiatan kumpulan berkenaan di negeri ini, jika ada, tindakan boleh diambil," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, jika orang awam mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

Terdahulu, menerusi Fatwa Johor yang diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 menetapkan ajaran SiHulk adalah ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan akidah, syariat serta akhlak Islam.

Difahamkan, pengikut SiHulk dipercayai membuat rakaman dan memuat naik video ajaran sesat itu ke dalam media sosial dari luar negara, sekali gus menyukarkan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) membuat tangkapan dan penguatkuasaan lanjut terhadap mereka.

Terbaru tular di media sosial, video menunjukkan sebuah keluarga yang dipercayai pengikut ajaran sesat SiHulk membuat pengakuan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan.

Kesemua daripada mereka memperkenalkan diri masing-masing sebelum membuat pengakuan bahawa perkara yang mereka katakan adalah benar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 11:27 AM