Menu-menu unik seperti ‘karipap angin’, ‘martabak rentung’ dan ‘roti john arang’ menjadi perbualan hangat di media sosial baru-baru ini.
Menu-menu unik seperti ‘karipap angin’, ‘martabak rentung’ dan ‘roti john arang’ menjadi perbualan hangat di media sosial baru-baru ini.
Mohd Rozaimy Ridzuan

Umum menyedari senario dunia kian mencabar apabila menyaksikan isu kenaikan harga barang semakin menjadi-jadi. Secara teori ekonominya, kenaikan harga barang berlaku disebabkan oleh impak perang, contohnya perang Rusia dan Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan, peningkatan kos produksi, ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran barang dan lain-lain.

Namun, terdapat segelintir peniaga seperti menahan lukah di pergentingan dengan mengambil kesempatan menaikkan harga jualan makanannya secara membuta tuli terutamanya pada bulan Ramadan.

Antara perkara popular setiap kali datangnya bulan Ramadan adalah kewujudan bazar di seluruh negara yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Perkara ini harus dipandang dari perspektif yang positif kerana ia membuka ruang kepada peniaga untuk mencari pendapatan di bulan Ramadan.

Selain itu, aktiviti jual beli yang berlangsung di bazar Ramadan juga dapat mengembalikan semula nostalgia budaya menarik yang ada di Malaysia di mana sebelum ini lebih kurang dua tahun kita tidak dapat melakukannya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan.

Mungkin juga ada segelintir peniaga yang lupa bagaimana sebelum ini mereka hilang mata pencarian seketika kerana tidak dibenarkan berniaga di bazar Ramadan bagi mengekang penularan Covid-19. Saban tahu, pasti kita dengar isu-isu kualiti makanan yang ditawarkan di bazar Ramadan yang selalunya tidak menyebelahi pengguna.

Menu-menu unik seperti 'karipap angin', 'martabak rentung' dan 'roti john arang' menjadi perbualan hangat di media sosial baru-baru ini. Sekiranya diperhalusi sebetulnya, perkara sebegini melibatkan ketabrakan kualiti dan sudah tentu pembeli yang membelinya berasa tidak puas hati dengan barangan yang dibelinya. Impak yang lebih tinggi pasti dirasai oleh golongan yang kurang berada apabila duit yang terhad dibelanjakan untuk membeli makanan yang tidak berkualiti.

Ada juga sebilangan peniaga yang mengambil pendekatan 'biarlah rahsia' dengan tidak meletakkan tanda harga di gerai atau premis perniagaan mereka. Tahu-tahu, pembeli terpaksa membayar harga makanan yang mahal. Ada juga yang meletakkan tanda harga makanan dan minuman tetapi menawarkan harga yang melangit.

Sekiranya 'hak' berbuat sedemikian dimiliki para peniaga, maka, para pembeli lah yang sepatutnya perlu menjadi seorang pengguna yang bijak.

Mencorakkan seseorang untuk menjadi seorang pengguna yang bijak telah dididik sejak di bangku sekolah lagi menerusi latihan penulisan karangan yang disulami dengan beberapa simpulan bahasa, peribahasa dan penanda wacana yang menarik. Jadi, apa yang diperlukan oleh pembeli sekarang ini adalah menukar teori dipelajari sebelum ini kepada tindakan.

Pengguna bijak adalah pengguna rasional dalam membuat keputusan membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan dan mampu mengawal serta mengatur kewangan mereka secara teratur.

Pengguna diingatkan agar bijak dalam berbelanja ketika membeli juadah berbuka di bazar Ramadan. Tindakan seorang pembeli di bazar Ramadan boleh dicontohi apabila pada asalnya beliau ingin membeli minuman air soya sebagai juadah berbuka puasa. Namun, harga minuman mencecah RM6 sebungkus dan aisnya turut mencair. Beliau terus membuat keputusan membeli air soya kotak di sebuah pasar raya terdekat dan harga minuman itu jauh lebih murah.

Dalam erti kata lain, pengguna yang bijak perlu membuat keputusan yang baik dengan membuat perbandingan harga. Di bazar Ramadan, pengguna perlu membuat tinjauan awal terlebih dahulu supaya perbandingan harga dapat dilakukan. Walaupun harga makanan dan minuman yang dijual secara kasarnya bersifat konsensus, namun masih lagi terdapat peniaga yang menggunakan pendekatan 'kepimpinan harga' (Price leadership) dengan menawarkan harga terendah bagi meraih pembeli seramai yang mungkin tanpa menidakkan kualiti.

Pengguna juga perlu melihat tanda harga dipamerkan peniaga bagi membolehkan mereka membuat keputusan. Sekiranya ada peniaga tidak meletakkan tanda harga, pengguna perlu bertanyakan harga terlebih dahulu supaya mereka tidak ditekan peniaga yang cekik darah.

Selain itu, isu pembaziran makanan di bulan Ramadan seolah-olah menjadi topik wajib dibincangkan oleh kerajaan setiap tahun. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendedahkan sebanyak 270,000 tan metrik dibazirkan pada bulan Ramadan setiap tahun. Pembaziran makanan ketika bulan Ramadan tidak sepatutnya naik mendadak kerana ketika itu umat Islam menunaikan ibadah puasa.

Namun, keterujaan orang ramai membeli juadah berbuka di bazar Ramadan secara berlebih-lebihan tanpa mengikut kapasiti sebenar orang yang menggunakannya menyebabkan makanan-makanan itu berakhir di tong sampah. Natijahnya, perkara ini bukan sahaja meringankan poket pengguna, malah ia turut meningkatkan beban kerajaan melalui peningkatan kos pengurusan sisa pepejal.

Yang paling dikhuatiri apabila pembaziran makanan tersebut akan meningkatkan jumlah pereputan sisa makanan yang akhirnya akan meningkatkan penghasilan kesan gas rumah hijau (GHG) dan menyumbang kepada pemanasan global.

Hakikatnya, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkenalkan pemberian e-dompet bernilai RM20 kepada pengunjung Bazar Ramadan Rahmah harus dipuji kerana inisiatif itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban rakyat, malah ia dapat menggalakkan pengguna, peniaga ke arah digital dan transaksi tanpa tunai.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 7:00 AM