ABDUL Rahman. FOTO Bernama
ABDUL Rahman. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meluncurkan dokumen Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 bagi menjadikan angkatan itu satu ketumbukan yang ampuh dan dinamik, setaraf dengan angkatan laut negara asing yang lebih moden.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, dokumen berkenaan akan dilancarkan pada Pameran Defence Services Asia (DSA) 2024 awal bulan Mei ini.

"Saya percaya, sekiranya pelan ini dilaksanakan seperti mana yang direncanakan, TLDM pasti akan mempunyai keupayaan yang diperlukannya kelak. Perubahan yang ketara juga akan dapat dilihat terutamanya menerusi perolehan aset-aset baharu seperti Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS), kapal misi pesisir (LMSB2) dan kapal sokongan pelbagai guna (MRSS) yang sekian lama tertangguh.

"Perolehan aset ini sudah tentunya akan memperkukuh dan memperkasakan lagi barisan hadapan pertahanan negara," katanya pada perutusan Hari Ulang Tahun Tentera (HUT) Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 hari ini.

Lazimnya, perutusan HUT disampaikan ketika Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada setiap tahun.

Namun, pada tahun ini ia disampaikan menerusi rakaman video memandangkan sambutan Hari Ulang Tahun TLDM dibatalkan bagi menghormati mangsa tragedi nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut baru-baru ini.

Mengulas mengenai penstrukturan semula organisasi TLDM 2024, beliau berkata, TLDM juga bakal menyusun semula saluran pemerintahan beberapa markas, merombak beberapa unit, dan menubuhkan unit yang baharu.

"Antaranya ialah, penubuhan Pusat Peperangan dan Doktrin TLDM atau Pusped TLDM bagi memperkasakan aspek peperangan dan doktrin di dalam TLDM.

"Pusped TLDM akan dibentuk hasil gabungan daripada Pusat Taktik Maritim (Pustakmar), Pusat Peperangan Elektronik (PPE TLDM) dan Sel Doktrin Pusmas TLDM, serta diletakkan di bawah Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TLDM, yang akan dijenamakan semula daripada Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 6:55 PM