Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Harga makanan dan minuman di bazar Ramadan sekitar Bangsar dan Pantai Dalam tidak banyak bezanya berbanding tahun lalu kecuali bagi nasi campur dan kuih yang mengalami sedikit kenaikan.

Bagaimanapun, pengguna masih menganggap harga makanan itu munasabah dan tidak keterlaluan untuk dibeli sebagai juadah berbuka puasa.

Malah, tinjauan Harian Metro mendapati bazar berkenaan masih dipenuhi orang ramai yang berkunjung ke situ seawal jam 4 petang.

Seorang pengunjung, Farah Fazlinda Mohamad, 28 dari Petaling Jaya berkata, dia sering berkunjung ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa dan merasakan peniaga menawarkan harga yang tidak keterlaluan.

“Tahun lalu, nasi campur dijual dengan harga RM4.50 dan naik RM0.50 kali ini.

“Kuih pula dijual dengan harga RM2 untuk lima biji tahun lalu tetapi empat biji tahun ini,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Isya Amir, 25 berkata, naik atau turun, dia tiada pilihan kecuali membeli makanan di bazar Ramadan memandangkan tidak sempat menyediakan juadah berbuka kerana pulang lewat daripada kerja.

“Kebiasaannya, saya berkunjung ke bazar Ramadan jam 6.30 petang kerana waktu itu peniaga menurunkan harga untuk menghabiskan makanan dan minuman jualan mereka.

“Dengan cara itu, saya dapat berjimat dan membeli dalam kuantiti banyak pada harga murah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:45 AM