GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Harga makanan di bazar Ramadan di negeri ini akan meningkat sedikit berikutan kenaikan harga bahan mentah di pasaran ketika ini.

Peniaga bazar Ramadan, Mohammed Farid Mohammed Fadzil, 29, berkata, kadar kenaikan harga makanan bagaimanapun tidak melampau batas dan mampu dibeli pengunjung.

Katanya, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual akan dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan pada kadar 50 sen bagi setiap jualan.

"Kami tidak boleh naikkan harga makanan keterlaluan kerana kadar sewa yang dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada kami juga pada kadar yang munasabah.

"Kami terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti ayam, daging dan sayuran mahal.

"Harga bagi nasi ayam ialah RM6, rojak asma RM6 manakala mi goreng dan nasi goreng pula RM3 sebungkus. Kuantitinya juga sama. Ada peniaga tidak menaikkan harga tetapi mengecilkan kuantiti atau mengecilkan saiz juadah," katanya yang akan menjual juadah berbuka di bazar Ramadan Bandar Baru Uda.

Sementara itu, penjual air, Boyamin Rifai, 37, berkata, kadar air minuman yang dijual di bazar Ramadan Larkin juga akan dinaikkan sekitar 50 sen sebekas.

Katanya, kenaikan bahan asas seperti susu pekat menyebabkannya terpaksa berbuat demikian.

"Saya banyak gunakan susu pekat dalam bancuhan air seperti teh tarik ais, kopi tarik ais dan teh hijau ais. Harga susu pekat juga meningkat daripada kira-kira RM8 bagi setin besar kepada RM11.

"Oleh itu, saya terpaksa naikkan harga jualan sebekas air 500 mililiter kepada RM3.50 manakala bekas air satu liter dijual pada harga RM5. Kita sebagai peniaga pun tidak boleh jual terlalu mahal kerana keadaan ekonomi juga masih belum pulih, kasihan kepada pembeli," katanya.

Menurutnya, peniaga juga mengharapkan ramai pengunjung membeli juadah dijual.

"Alhamdulillah, sewa tapak bazar juga munasabah. Jadi kami tidak terbeban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 2:46 PM