Karipap angin yang digelar warga net. FOTO ihsan pembaca.
Karipap angin yang digelar warga net. FOTO ihsan pembaca.
Ekhwan Haque Fazlul Haque

KARIPAP angin, murtabak ayam berinti bawang. Itu antara gelaran yang diberikan warga net terhadap menu yang dijual peniaga bazar Ramadan kerana tidak mencapai kualiti dan setimpal dengan harga.

Pengguna kesal kerana ada peniaga yang sekadar melepas batuk di tangga kerana dilihat mahu mengaut keuntungan semata-mata.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamed Zamri Mohammed berkata, tindakan segelintir peniaga itu menyebabkan mereka yang benar-benar mencari rezeki dengan berniaga terkena tempias.

Menurutnya, kualiti makanan dan minuman yang dijual seharusnya setimpal dengan harga yang ditawarkan kepada pengguna supaya wujud situasi menang-menang.

“Jika ada peniaga yang berniaga sambil lewa, ia sudah pasti menutup pintu rezeki kepada peniaga lain yang benar-benar mahu mencari rezeki tambahan sepanjang Ramadan ini.

“Ia perlu dipandang serius oleh peniaga kerana kini masalah yang timbul akan mudah tersebar sekali gus memberi impak kepada peniaga lain,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, sikap mengambil kesempatan dalam kalangan peniaga perlu dikikis supaya mereka menjadikan perniagaan sebagai satu cabang ibadah jika dilakukan dengan ikhlas.

Katanya, sudah tiba masanya peniaga bazar Ramadan meningkatkan kewibawaan mereka dengan menawarkan produk yang berkualiti setimpal dengan harga yang perlu dibayar pengguna.

“Jangan disebabkan terlalu mengejar keuntungan, kualiti diabaikan sehingga memberi imej negatif masyarakat kepada peniaga dan penjaja di bazar Ramadan,” katanya.

Sejak awal Ramadan lalu, warga net sering berkongsi gambar dan kisah mengenai kekecewaan mereka membeli juadah di bazar Ramadan yang dikatakan tidak setimpal dengan harga dan kualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:17 PM