myMetro

Selain menghimpun pahala berganda dan mendapat keberkatan, Ramadan satu-satunya bulan semua orang menunggu kemeriahan pasar jualan makanan atau lebih dikenali sebagai bazar.

Eksekutif muda dan pekerja di sektor swasta biasanya menjadikan juadah di bazar sebagai makanan berbuka puasa. Namun, persoalannya adakah kita membeli makanan ikut perut atau membazir?

Pembaziran makanan

Tanyalah sesiapa saja, penulis sendiri percaya mereka akan berikan jawapan yang sama. Melihat tepung pelita yang belum dijamah di bazar ketika Ramadan, nafsu teruja memikirkan rasanya yang berlainan berbanding dimakan pada bulan biasa.

Bukan saja kuih, tapi pelbagai juadah yang mampu menarik perhatian sesiapa saja hingga mengundang kepada pembaziran makanan. Disebabkan perut kenyang, sikit saja juadah dijamah untuk berbuka.

Pembaziran masa

Disebabkan terlalu cerewet memilih juadah dan mungkin ingin ‘mencuci mata’, banyak masa dihabiskan di situ. Berjalan dua pusingan belum tentu dapat memenuhi selera makan kita.

Masa yang terluang itu dibazirkan begitu saja. Bukankah lebih elok jika masa dihabiskan dengan keluarga di rumah ataupun beramah mesra dengan mereka?

Pembaziran duit

Sebut saja menu apa pun, semuanya boleh dijumpai di bazar Ramadan. Sama ada masakan kampung, makanan Arab, Cina, Barat atau lain-lain boleh dikatakan ada tersedia.

Bagi mereka yang mengidam untuk makan sesuatu yang sukar didapati kerana jauh dan sebagainya, inilah saatnya untuk membeli juadah pilihan yang eksklusif hanya pada Ramadan.

Pun begitu, disebabkan terdapat juadah lain mengundang tekak untuk merasa, kita ‘sebat’ saja selagi berduit dalam poket. Sudahnya, semua 10 jari penuh dengan plastik berisi makanan hanya untuk berbuka. Bukankah itu pembaziran namanya?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 10:00 AM