Setiap insan pasti berasa bangga dengan negara masing-masing.
Setiap insan pasti berasa bangga dengan negara masing-masing.
minda

Setiap insan pasti berasa bangga dengan negara masing-masing. Begitulah juga setiap orang di negara ini berbangga kerana Malaysia banyak menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan rakyatnya. Keperluan utama setiap manusia ialah seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan rawatan perubatan.

Sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 banyak kemajuan dicapai dalam semua bidang terutamanya apabila terbentuknya Malaysia pada 1963. Pembentukan Malaysia banyak menyumbang kepada keteguhan negara yang dihiasi dengan pelbagai kaum dan agama. Masyarakat majmuk tidak sekali-kali menghalang kemajuan negara walaupun mempunyai rakyat daripada latar belakang dan fahaman yang berbeza. Kemudahan asas yang disediakan kepada semua memenuhi keperluan utama sebagaimana dinyatakan. Mungkin masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan berbanding negara maju, tetapi ia sudah lebih baik daripada keadaan di negara lain. Apa yang biasanya dipersoalkan oleh kebanyakan warganegara ialah apa yang negara sediakan untuk mereka? Namun, tidak ramai yang bertanyakan soalan apakah sumbangan mereka kepada negara? Dengan kata lain, apakah bentuk sumbangan yang mereka boleh persembahkan untuk membantu pembangunan serta kemajuan negara? Persoalan seperti inilah yang lazimnya menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah rakyat kepada pemerintah. Walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh setiap kepemimpinan, pastinya akan ada kekurangan di mana-mana. Itu lumrah kehidupan manusia. Kesempurnaan hanya milik Allah.Apabila membincangkan mengenai sumbangan atau tanggungjawab kepada negara, sekurang-kurangnya ada lima perkara yang menjadi topik utama. Pertama ialah kewajipan mempertahankan negara. Setiap warganegara bertanggungjawab untuk mempertahankan negara apabila ada anasir jahat yang cuba untuk mengancam keselamatan negara. Menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk bangkit mempertahankan negara dengan kemampuan yang ada tanpa mengira warna kulit dan agama. Janganlah pula ada pihak yang sanggup bersekongkol dengan musuh untuk meruntuhkan negara. Apatah lagi, sekiranya terlibat secara langsung dengan pihak luar yang boleh mengancam keselamatan negara. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada pasukan keselamatan, bahkan menjadi tanggungjawab semua warganegara mengikut kemampuan dan berdasarkan bidang masing-masing.

Kedua, kesetiaan kepada negara tanpa berbelah bahagi. Di samping semangat mempertahankan negara daripada sebarang ancaman sama ada dari dalam atau luar, setiap warganegara juga mesti mencurahkan taat setia kepada negarat. Kesetiaan kepada negara termaktub dalam prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Maka, sewajarnya dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia digunakan untuk mencetuskan serta menyemarakkan rasa kasih dan setia kepada negara. Pengorbanan setiap warganegara sama ada secara individu ataupun organisasi sememangnya tidak pernah dinafikan apatah lagi dilupakan. Semuanya membuktikan kesetiaan setiap individu terhadap negara tercinta.

Ketiga, yang sepatutnya menjadi kewajipan rakyat dalam sesebuah negara ialah menjaga negara termasuk dalam aspek kebersihan dan keindahan. Negara terkenal dengan keindahan alam semula jadi. Janganlah kecantikan yang dianugerahkan Allah SWT ini dinodai dengan perbuatan tidak bertanggungjawab. Mungkin alasan pembangunan digunakan untuk menutupi kesalahan dalam 'pencerobohan' terhadap kemurniaan alam sekitar. Akibatnya, berlakulah pencemaran dan ketidakstabilan alam sekitar seperti perubahan cuaca tidak menentu, peningkatan suhu dan bencana alam di luar norma biasa.Perkara ini diperingatkan Allah di dalam al-Quran. Allah berfirman: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan- perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah al-Rum, ayat 41)Oleh itu, setiap rakyat perlu sedar tanggungjawab memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar sebagai salah satu sumbangan terhadap negara. Seterusnya, negara akan kekal terkawal dan kesejahteraan rakyat juga lebih terjamin. Begitu juga, kos menangani isu-isu yang timbul akibat sikap tidak bertanggungjawab manusia dapat dikurangkan. Sebenarnya ini akan menyelamatkan kos. Kelestarian ekonomi juga dapat diseimbangkan kerana tiada pembaziran menangani kerosakan akibat musibah yang melanda negara.Tanggungjawab keempat ialah membantu menyebarluaskan kesedaran rakyat berkenaan tanggungjawab kepada negara. Tidak cukup dengan pelajaran di sekolah atau institusi pengajian tinggi, kesedaran tanggungjawab kepada negara juga mesti sentiasa disebarluas. Kelebihan di zaman kemajuan sains dan teknologi adalah kaedah terbaik untuk merebut peluang bagi mengajak penduduk negara kita supaya menghulurkan apa jua sumbangan. Sama ada dengan menjelaskan kebaikan yang kita dapat daripada negara atau menyedarkan rakyat tentang cabaran yang dihadapi negara kita, khususnya cubaan musuh untuk menjatuhkan negara sama ada dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan dan hubungan antara kaum. Perkara kelima ialah kewajipan menghormati Perlembagaan dan undang-undang serta peraturan. Seluruh rakyat mesti mematuhi setiap peraturan agar perlaksanaannya berjalan baik. Jika tidak, kestabilan dan keharmonian negara terjejas. Kestabilan politik akan terjejas dengan pencabulan terhadap hak dan kelayakan seseorang dari segi perundangan. Jika tidak ditadbir dengan sebaiknya undang-undang dan peraturan dicabuli akan mengakibatkan jenayah berleluasa seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 7:00 AM