SETIAP warganegara perlu memahami beberapa matlamat utama untuk membentuk masyarakat Madani. FOTO Arkib NSTP
SETIAP warganegara perlu memahami beberapa matlamat utama untuk membentuk masyarakat Madani. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Peranan setiap anggota masyarakat dalam membina dan membantu kemajuan negara adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Bermula dengan pembentukan masyarakat sejahtera inilah akan terbentuk sebuah masyarakat Madani yang akan menjadi nadi dan penggerak utama kepada sebuah negara yang maju dan sejahtera.

Tanggungjawab membina sebuah negara yang sejahtera terletak di atas bahu rakyat. Sama ada sebagai individu atau kumpulan tertentu sehinggalah kepada mereka yang dipilih dan diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.

Malah, semua anggota masyarakat mesti berganding bahu dalam membantu kerajaan membina negara yang maju daripada semua aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial. Setiap warganegara sepatutnya menggembleng tenaga dan menumpukan segala usaha tanpa sikap prejudis atau sebarang konspirasi demi membentuk negara sejahtera sebagaimana dituntut Allah SWT.

Allah berfirman: "Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu) Tuhan yang Maha Pengampun!" (Surah Saba', ayat 15)

Masyarakat Madani (Civil Society) atau dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-Mujtama' al-Madani ialah masyarakat terdiri daripada organisasi yang tiada kaitan dengan pemerintah atau kerajaan. Badan ini juga bukanlah institusi yang bermatlamatkan keuntungan sebagaimana dalam perniagaan.

Malah, tanggungjawab utama mereka ialah menjamin kehidupan bermasyarakat yang berlandaskan keperluan asas sebagai warganegara. Maka, masyarakat Madani berdasarkan definisi di atas adalah satu pihak yang tiada kaitan langsung dengan kerajaan.

Mereka melaksanakan program secara sukarela untuk masyarakat dan memainkan peranan semak dan imbang kepada pemerintah secara langsung demi kepentingan rakyat.

Oleh itu, setiap warganegara perlu memahami beberapa matlamat utama untuk membentuk masyarakat Madani. Pertama, matlamat terpenting ialah menumpukan untuk mencurahkan segala khidmat kepada masyarakat demi kepentingan negara. Semua organisasi dan kumpulan masyarakat yang terlibat mestilah meletakkan tujuan asal adalah untuk menjaga kebajikan seluruh anggota masyarakat terutama golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan.

Kedua, memberikan perhatian khusus dan cakna terhadap golongan yang berkeperluan khas seperti orang tua, anak yatim, golongan kurang upaya dan mereka yang tidak bernasib baik. Tumpuan mereka berkhidmat kepada anggota masyarakat secara umumnya tidak boleh mengkesampingkan golongan ini. Mereka mesti diutamakan.

Ketiga, antara matlamat penting masyarakat Madani ialah sentiasa menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa setiap warganaegara. Semangat inilah yang akan memacu setiap jiwa yang cintakan negara agar sentiasa bersedia dan sanggup berkorban demi negara tercinta. Pada masa sama, cuba sedaya upaya untuk menghindarkan perkara yang boleh meruntuhkan negara seperti isu perkauman dan perbezaan sosio-ekonomi. Program yang mampu untuk menerapkan semangat patriotik perlu diperbanyakkan bagi menangkis anasir buruk daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Keempat, menumpukan kepada usaha membasmi buta huruf dan golongan tercicir daripada mendapat pendidikan. Walaupun negara kita sudah berada pada tahap yang agak baik dalam kemajuan teknologi dan pendidikan, tetapi masih terdapat sebilangan rakyat yang masih ketinggalan. Program pendidikan dan memberikan pendedahan tentang peluang pendidikan mestilah dibuat secara lebih agresif kerana negara yang maju memerlukan masyarakat yang berpengetahuan tinggi untuk menggalas cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

Seterusnya akan dapat menambahbaik dan menaiktaraf kehidupan mereka terutamanya dalam aspek sosio-ekonomi.

Kelima, menjadi matlamat masyarakat Madani juga ialah mendidik seluruh warganegara untuk memahami sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara. Setiap rakyat mesti memahami tanggungjawab masing-masing kepada negara dan apakah yang mereka boleh sumbangkan kepada negara. Rakyat mesti memahami konsep negara majmuk dan hak setiap anggota masyarakat dalam negara. Mereka perlu diterapkan semangat perpaduan antara berbilang kaum dan agama yang saling memerlukan untuk kemajuan negara.

Keenam, semua anggota masyarakat perlu ditingkatkan nilai diri di samping memantapkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang terkenal di seluruh dunia dengan nilai dan adat resam yang baik mestilah terus dipandang tinggi oleh dunia. Akhlak dan moral yang baik mesti sentiasa dititikberatkan agar terus dihormati dan dipandang mulia.

Kesedaran tentang keburukan akibat daripada amalan buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan kerja yang tidak berkualiti mesti menjadi agenda penting. Pencapaian baik secara fizikal sahaja tidak bermakna jika tiada moral dan melanggar etika. Kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa mesti bersulamkan nilai akhlak dan moral yang tinggi.

Ketujuh, antara perkara yang sangat penting juga ialah matlamat masyarakat Madani tidak sekali-kali untuk mendapat tempat dan kuasa di dalam pemerintahan negara. Bermakna, matlamat masyarakat Madani bukan mengejar kedudukan.

Oleh itu, pembentukan negara Madani yang sejahtera mestilah dibantu oleh peranan masyarakat Madani yang pastinya akan memacu kemajuan negara dengan lebih cepat dan mantap.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:01 AM