FOTO hiasan. FOTO Hassan Omar
FOTO hiasan. FOTO Hassan Omar
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Patriotisme adalah perasaan kasih sayang dan hormat kepada tanah air. Ia adalah satu perasan yang mendorong seseorang individu terus berkhidmat untuk pembangunan negara, memelihara budaya dan warisan.

Patriotisme juga adalah dedikasi dan pengorbanan demi mempertahankan negara daripada anasir luar atau dalaman. Mengibarkan bendera kebanggaan, Jalur Gemilang melambangkan semangat patriotik, perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

Di bawah kibaran Jalur Gemilang itulah Malaysia mencapai kemerdekaan, membangun dan terus maju membina kehidupan rakyatnya dengan penuh sejahtera dan harmoni.

Mengibarkan Jalur Gemilang satu cara untuk menzahirkan semangat patriotik. Patriotisme juga boleh diamalkan dalam pelbagai bentuk.

Seorang yang patriotik boleh menyumbangkan tenaga, pandangan, harta dan jiwa untuk kebaikan kepada negara.

Menggunakan kemudahan awam dengan baik, menjaga kebersihan di tempat awam serta memelihara alam sekitar juga adalah tindakan seorang yang patriotik.

Patriotisme juga meliputi tanggungjawab kepada kekayaan dan permasalahan negara. Mengurus dan menggunakan hasil dan sumber alam untuk maslahat negara dan rakyat bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Tidak mengambil kekayaan negara secara salah dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti menipu, menindas dan terbabit rasuah.

Seorang pemimpin yang patriotik sentiasa berkhidmat demi kepentingan negara dan bukannya untuk survival politik peribadi.

Semangat dan nilai patriotik juga difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran dan juga sabda Rasulullah SAW. Demi semangat sayang dan cintakan tanah air, Nabi Ibrahim AS mendoakan kesejahteraan Kota Makkah seperti dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah, ketika Ibrahim berdoa: ‘Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Kota Makkah pada asalnya adalah sebuah kawasan kering tandus dan tiada kemajuan. Berkat doa Nabi Ibrahim, kota itu kemudiannya dilimpahi pelbagai rezeki yang dapat dinikmati penduduknya.

Pengajaran yang boleh diambil ialah setiap manusia hendaklah menjadi seorang yang taat kepada Allah, Tuhan pencipta segala makhluk dan semesta alam. Mudah-mudahan kehidupan rakyat Malaysia sentiasa mendapat berkat dan rahmat-Nya.

Nabi Muhammad SAW turut memperlihatkan bagaimana sebatinya nilai cinta dan sayang Baginda kepada tanah air. Ini dirakamkan dalam satu dialog Baginda dengan bumi Makkah ketika terpaksa berhijrah ke Madinah yang menunjukkan betapa berkobar-kobarnya sayang dan cinta Rasulullah kepada tanah air.

“Engkau wahai Makkah adalah satu bumi yang baik dan paling aku cintai, kalau sekiranya kaummu (pendudukmu) tidak mengeluarkan aku darimu, nescaya aku tidak akan tetap di mana-mana tempat selain daripadamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Semoga Allah SWT menjadikan negara kita dalam limpahan keberkatan, aman, damai dan sejahtera. Rakyat di dalamnya dianugerahi petunjuk sehingga mampu bersatu dan bersama-sama membangunkan kemaslahatan untuk semua.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 1:10 PM