PENUNJUK perasaan mendesak peletakan jawatan Presiden Sri Lanka mengambil makanan yang disediakan. Krisis makanan dan bahan api mendorong demonstrasi besar-besaran di seluruh negara. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan mendesak peletakan jawatan Presiden Sri Lanka mengambil makanan yang disediakan. Krisis makanan dan bahan api mendorong demonstrasi besar-besaran di seluruh negara. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Tidak sampai 10 hari lagi kita bakal menyambut Syawal yang menjadi bulan kemenangan bagi umat Islam. Selepas dua tahun beraya dalam sekatan pergerakan, ternyata lebaran kali ini bakal disambut dalam suasana lebih meriah.

Walaupun muncul isu harga makanan mahal di bazar Ramadan namun kita beruntung kerana masih banyak pilihan lain untuk mengisi perut.

Namun, keadaan sedikit berbeza bagi saudara kita di Sri Lanka yang kini berdepan krisis ekonomi terburuk dalam sejarahnya hingga memaksa mereka berdepan catuan makanan.

Pakar mengatakan krisis di Sri Lanka sudah berlarutan sekian lama namun keadaan semakin buruk dengan kelemahan pentadbiran ditambah pula kehadiran pandemik Covid-19.

Sepanjang dekad yang lalu, kerajaan Sri Lanka telah meminjam sejumlah besar wang daripada pemberi pinjaman asing untuk membiayai perkhidmatan awam, kata Murtaza Jafferjee, pengerusi badan pemikir Advocate Institute yang berpangkalan di Colombo.

Peminjaman ini memberi kesan kepada ekonomi Sri Lanka, yang kemudian diburukkan dengan pelbagai bencana yang berlaku meliputi bencana alam seperti monsun kepada malapetaka buatan manusia, termasuk larangan kerajaan terhadap baja kimia yang memusnahkan hasil tuaian petani.

Untuk rakyat Sri Lanka, krisis yang berlaku ini bukan sekadar medan untuk mengkritik kerajaan yang tidak pandai buat kerja, namun memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

Mereka terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan barangan asas yang kebanyakannya dicatu.

Kedai terpaksa menghentikan operasi kerana mereka tidak boleh membiarkan peti sejuk, penyaman udara atau kipas berfungsi.

Tentera diletakkan di stesen minyak untuk mengawal pelanggan yang beratur berjam-jam di tengah rembang mentari. Malah, ada yang meninggal dunia ketika menanti giliran mendapatkan minyak tanah.

CNN melaporkan seorang ibu di Colombo memaklumkan dia terpaksa beratur lebih lama untuk mendapatkan gas propana yang digunakan untuk memasak makanan buat keluarganya.

Ada yang mengeluh kos roti meningkat lebih dua kali ganda, manakala penarik beca dan teksi berkata catuan minyak terlalu kecil untuk menyara hidup.

Lebih menyedihkan ada yang terpaksa membuat dua perkara dalam satu masa - bekerja untuk menyara keluarga dan beratur untuk mendapatkan bekalan.

Seorang tukang sapu memberitahu dia secara senyap-senyap meninggalkan tempat kerja untuk beratur mendapatkan makanan, sebelum bergegas pulang.

Malah golongan kelas pertengahan yang mempunyai simpanan, bimbang mereka akan kehabisan barangan keperluan seperti ubat atau gas.

Kehidupan menjadi lebih sukar apabila bekalan elektrik kerap terputus, kadangkala selama lebih 10 jam pada satu masa.

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, mengaku kesalahannya dalam memimpin pentadbiran negara sehingga menyebabkan negara itu berdepan krisis ekonomi terburuk, namun enggan berundur walaupun protes besar-besaran dilakukan mendesak peletakan jawatannya.

Beliau bagaimanapun, menggugurkan dua saudara dan seorang anak saudaranya daripada menganggotai barisan Kabinet baharu.

Kabinet baharu mengekalkan Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa yang juga abang Gotabaya.

Dua lagi adik-beradik Gotabaya iaitu ketua puak pemerintah Sri Lanka, Chamal dan bekas Menteri Kewangan, Basil turut digugurkan daripada anggota kerajaan.

Anak lelaki sulung Mahindra, Namal yang mengetuai kementerian sukan juga tidak disenaraikan dalam kabinet baharu Gotabaya.

AFP melaporkan, kabinet yang dianggotai 21 orang itu adalah kurang tujuh orang daripada kabinet sebelumnya, yang meletak jawatan beramai-ramai dua minggu lalu sebagai tindak balas kepada kemarahan orang ramai terhadap nepotisme dan rasuah.

Menteri di negara itu berhak mendapat beberapa kenderaan utiliti sukan (SUV), sekumpulan pengawal peribadi, bahan api tanpa had serta elaun perumahan dan hiburan negeri.

Ternyata Sri Lanka menjadi bukti ampuh betapa kesilapan pemimpin negara memberi kesengsaraan kepada rakyat.

Mereka yang berharta mungkin boleh melangkah ke negara lain menyelamatkan diri, namun bagaimana dengan rakyat yang kurang berkemampuan? Nak hijrah ke negara lain tidak mampu, duduk di negara sendiri pula makan bercatu.

Memasuki 10 malam terakhir Ramadan ini, kita doakan pemimpin negara kita diberikan kebijaksanaan mentadbir negara dan jadikan krisis Sri Lanka sebagai pengajaran bermakna.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 6:15 AM