IA menggambarkan semangat kekitaan dan semangat setia kawan dalam kumpulan atau pasukan. FOTO arkib NSTP
IA menggambarkan semangat kekitaan dan semangat setia kawan dalam kumpulan atau pasukan. FOTO arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Apabila kita menyebut mengenai espirit de corp, mungkin ada bertanya kenapa penulis tidak menggunakan bahasa Melayu dalam penulisan dan menaikkan bahasa asing atau penulis terlebih makan burger pada siang hari.

Bukan begitu niatnya, tapi perkataan ini sinonim bila kita bekerja dalam satu pasukan atau jabatan ketika mesyuarat atau perhimpunan atau perjumpaan apabila bos atau ketua kita akan mengucapkannya, bukannya kerana bahasa asing yang kononnya rare pada masa kini.

Pada zaman Koloni British pun, ia sudah diucapkan dan diamalkan budaya esprit de corp ini. Maksud perkataan ini dalam bahasa Inggeris Espirit de Corp A French phrase meaning: A feeling of loyalty, fellowship shared by members of a particular group.

Diterjemah ke dalam bahasa Melayu: esprit de corp (disebut es-pree deh core) daripada ayat Perancis bermaksud perasaan setia dikongsi ahli kumpulan atau semangat kumpulan (pasukan).

Ia adalah sinonim untuk perkataan seperti semangat, persahabatan dan tujuan. Biasanya, frasa ini hanya diterjemahkan sebagai semangat kumpulan positif.

Dalam erti kata paling ketat, ia hanya digunakan untuk kumpulan tentera, polis dan sebagainya yang bersama membentuk tujuan dan persahabatan. Namun, ia sering digunakan dalam bahasa biasa untuk merujuk kepada mana-mana kumpulan yang bersatu dan melindungi ahlinya.

Ia menggambarkan semangat kekitaan dan semangat setia kawan dalam kumpulan atau pasukan. Malah, boleh juga digunapakai untuk organisasi sama ada besar atau kecil.

Kakitangan dan pekerja sebahagian daripada organisasi dan tanpanya, organisasi tidak lengkap.

Prinsip kerja berpasukan dan esprit de corp perlu bagi organisasi untuk menjamin keutuhan dan memastikan pencapaian objektif organisasi.

Sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri, semangat kekitaan dalam pasukan amat penting dan tidak seharusnya terhakis dalam suasana kerja sekarang.

Malangnya, ada segelintir pekerja buat hal sendiri apabila masuk kerja dan balik kerja tanpa menghiraukan suasana sekeliling atau tatacara berkumpulan dalam erti kata lain 'Mu adalah mu dan aku adalah aku.'

Banyak kemungkinan kenapa individu terbabit dengan alasan tersendiri dan sudah tiada lagi semangat berkenaan dengan alasan dan sebab tersendiri.

Penulis ingin menyelami dalam kepolisian, dapat dilihat dan diterjemahkan apabila kerap berlaku sudah tidak duduk minum semeja lagi pegawai trafik dengan pegawai jenayah dan lain-lain jabatan seolah-olah masing-masing terkongkong dalam persekitaran kumpulannya.

Bukan sahaja jabatan yang penulis sebutkan itu, malah ketua berlainan jabatan pun sudah tidak dipandang atau dihormati oleh jabatan atau unit lain.

Terdapat berbelas-belas jabatan dalam kepolisian dan perlu memegang pada satu ikatan iaitu blue blood atau darah biru perlu mengalir dalam jiwa mereka, sekali gus menjadikan satu ikatan kukuh dalam membentuk organisasi kepolisan mantap.

Mengapa dan kenapa ini terjadi harus dikaji oleh kepemimpinan. Tidak ada lagi semangat men in blue atau blue blood itu dan jika pekara ini terjadi dan tidak dibendung akan mengundang hilangnya espirit de corp.

Ia akan menjejaskan keutuhan pasukan itu sendiri dan lama-kelamaan mengundang kepada perpecahan bukan sahaja jabatan, bahkan organisasi itu sendiri nanti.

Beberapa tip ini boleh meningkatkan lagi espirit de corp kepada jabatan atau organisasi, terpulang kepada kita untuk menggunapakai mengikut kesesuaian tempat kerja.

l

Kepada ketua atau pucuk pimpinan, usaha dan kerjasama harus diberi ganjaran. Sekiranya pasukan menunjukkan prestasi baik, ahli pasukan harus dihargai dan usaha mereka harus diiktiraf.

Terdapat pelbagai contoh untuk menunjukkan apabila pasukan dihargai atas usaha mereka, mereka menjadi lebih digalakkan untuk beraksi dengan baik. Ia meningkatkan semangat untuk produktif terhadap organisasi.

l Meningkatkan semangat mereka sendiri. Beberapa kajian mendapati tekanan rakan sebaya biasanya lebih berjaya memotivasikan pekerja berbanding tekanan pihak atasan, maka jadikan ahli pasukan saling memotivasikan satu sama lain.

Menerusi cara itu setiap orang bertanggungjawab terhadap tahap moral. Ringkasnya, mereka kini akan menjadi lebih produktif dan kerja berpasukan akan memimpin pekerja bermotivasi ke arah matlamat organisasi bersama.

l Rancang acara dan perjalanan iaitu ramai orang boleh pergi bersama. Perkara aneh berlaku apabila anda membawa sekumpulan orang jauh dari persekitaran biasa mereka. Mereka dapat melihat sisi kreatif antara satu sama lain.

Mereka menjadi lebih terbuka kepada idea baharu dan membentuk ikatan kuat antara satu sama lain dengan cepat. Perjalanan sedemikian menjadi sumber kebahagiaan dan membantu membentuk ikatan akan membantu dalam kehidupan peribadi mahu pun profesional.

l Menggalakkan komunikasi. Banyak kali berlaku konflik dalam kalangan ahli kumpulan, kumpulan menjadi tidak berfungsi, orang bergaduh sesama sendiri dan salah faham kecil sehingga menjadi rungutan dan punca perselisihan faham.

Salah satu daripada banyak sebab perkara ini berlaku mungkin kurang komunikasi dan perbincangan. Anda harus memastikan pasukan mendapat peluang mencukupi untuk berinteraksi dan mengadakan perbincangan sihat.

Apabila maklumat bergerak melalui spekulasi, ia membawa natijah maklumat tidak tepat dan kadang-kadang membuatkan kilang khabar angin berjalan. Pastikan kes maklumat salah yang membawa kepada penurunan semangat dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja tidak merebak.

Mengikuti langkah dan proses ini akan membantu membina semangat kerja berpasukan, persaudaraan dan semangat esprit de corp di tempat kerja.

Dalam polis, esprit de corp sangat penting sebagai penguat kuasa keselamatan yang merasakan sebahagian daripada pasukan berkemungkinan besar akan melindungi satu sama lain.

Menerusi hubungan erat unit dan jabatan dalam PDRM, diharapkan semangat setiakawan terus berkembang. Semoga PDRM terus maju dan ulung dengan semangat juang dan espirit de corp tinggi bagi menjaga nama baik organisasi dan menjaga keselamatan negara.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 5:59 AM