GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

TERINGAT penulis sewaktu menyertai Kursus Bina Negara dianjurkan untuk kakitangan jabatan kerajaan.

Dalam seminggu berkursus itu, seharian akan diungkapkan: "Apa yang penting" dan semua akan menjawab: "Kerjasama."

Seharian berkursus dari pagi sampai malam, kami diterapkan budaya kerja dalam satu pasukan dan saling bekerjasama dan kerjasamalah yang akan membuatkan sesebuah kumpulan yang dibentuk menghasilkan kerja yang diberikan.

Jelas, kerjasama sangat penting kerana ia gabungan pengalaman kolektif setiap orang. Apabila dinyatakan menggunakan teknologi yang memperkuat komunikasi, hasilnya biasanya sangat memuaskan.

Kerjasama semua anggota dalam organisasi amat diperlukan bagi memudahkan pencapaian matlamat atau agenda yang ditetapkan organisasi.

Tanpa kerjasama semua pihak, pastinya agenda hanya sia-sia. Ini kerana setiap anggota organisasi menyumbang kepada hasil kerja dalam mencapai agenda ditetapkan dengan memainkan peranan tersendiri mengikut skop dan bidang tugas masing-masing.

Setiap warga organisasi mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada pencapaian agenda yang ditetapkan organisasi. Baik dari sekecil-kecil kerja hingga sebesar-besar kerja.

Semuanya akan memberikan kesan terhadap hasil kerja itu. Bagi mereka yang memerlukan bimbingan, tunjuk ajar perlulah diberikan. Sikap mementingkan diri sendiri hanya akan merosakkan organisasi.

Untuk itu, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang mempertikaikan atau merendah-rendahkan peranan orang lain dalam organisasi.

Justeru, semangat kerjasama dan saling membantu perlu diterapkan kepada warga organisasi agar semangat kerjasama menjadi amalan dan meresap ke dalam diri warga organisasi itu.

Ini seterusnya akan membentuk satu budaya dalam organisasi yang akan memacu kejayaan kepada sesebuah organisasi.

Membudayakan kerjasama amat dituntut dalam organisasi kerana budaya itu akan memacu ke arah kecemerlangan. Tanpa kerjasama semua anggota, sudah pasti perkara yang ditetapkan sukar dicapai.

Sesuatu bebanan dapat diagih dan dikongsikan bagi memudahkan kerja yang dilaksanakan untuk menjadikan kerjasama sebagai satu budaya dalam organisasi, penerapan amalan perlu dibuat secara berperingkat mengikut kesediaan anggota.

Sesuatu yang ingin dijadikan budaya perlu diperkenalkan terlebih dahulu. Ini bagi memastikan anggota dalam organisasi tidak terkejut dengan sesuatu perkara yang ingin dijadikan budaya.

Pendekatan secara paksaan kadang kala perlu dibuat dalam masa-masa tertentu terutama apabila terdapat anggota yang sukar menerimanya.

Untuk menjadikan kerjasama sebagai satu budaya dalam organisasi, sikap mementingkan diri dan berpuak-puak hendaklah dihapuskan.

Sebaliknya, semangat kerja berpasukan demi kemajuan organisasi hendaklah diterapkan. Agenda organisasi perlu didahulukan berbanding agenda peribadi dalam melaksanakan kerja agar hasilnya dapat dinikmati dan lebih bermakna.

Kerjasama secara berterusan lama-kelamaan akan menjadikan amalan itu sebagai satu budaya dalam organisasi secara sedar atau tidak.

Harus diingat, tiada yang sempurna dan apabila memperkatakan mengenai organisasi, sudah pasti merujuk kepada satu kumpulan manusia yang mempunyai hierarki dan peranan tertentu.

Ini menyentuh perkara berkaitan kepelbagian fungsi dan anggota organisasi. Setiap anggota pasti mempunyai perbezaan dari pelbagai sudut. Ada yang mempunyai kuasa besar, terlibat dalam perancangan dan pembuat keputusan.

Ada juga yang tidak mempunyai kuasa, tetapi bergiat aktif dalam pengoperasian dan perlaksanaan kerja yang dirancang.

Ini bermakna, tidak wajar sekiranya satu ukuran sahaja yang digunakan bagi menilai seseorang dalam organisasi. Perbalahan dan perasaan tidak berpuas hati seseorang sering tercetus akibat timbul persepsi terhadap orang lain dalam oerganisasi.

Merasakan diri lebih sempurna dan meletakkan kualiti orang lain pada tahap lebih rendah hanya akan membuka ruang persengketaan dan mewujudkan keretakan dalam organisasi.

Secara umumnya, setiap manusia itu berbeza dalam banyak segi, termasuk fizikal, kepintaran dan kecekapan dalam mempelajari sesuatu.

Seharusnya usaha seseorang dalam melaksanakan tugasnya dilihat dan dihargai. Memandangkan keupayaan seseorang itu berbeza, hasil kerja yang dilaksanakan akan berbeza.

Menerima dan mengakui kekurangan diri adalah sifat berani dan perlu ada dalam setiap warga organisasi. Ini membolehkan kekurangan itu ditampung dengan kelebihan yang ada pada anggota lain.

Saling timbal balas dan kerjasama antara anggota akan membuka jalan lebih luas ke arah pencapaian matlamat organisasi.

Tidak dinafikan, dalam setandan pisang, tidak semuanya baik. Begitu juga dalam organisasi, dalam sekumpulan anggota pasti ada cacat celanya.

Namun ini tidak bermakna organisasi itu akan runtuh hanya sedikit kekurangan. Mengambil langkah dan bersikap lebih positif akan menyelamatkan organisasi.

Perkara yang dilihat dapat menghancurkan perancangan organisasi perlulah dikenal pasti dan dikaji. Ini mebolehkan langkah percegahan dapat diambil dan pemulihan dibuat sekiranya sebarang kemungkinan terjadi.

Namun begitu, sikap dalam diri anggota sebenarnya menjadi halangan utama kepada kejayaan organisasi kerana sikap akan mewujudkan perlakuan dan tindakan.

Sekiranya sikap tidak diperbaiki, perlakuan dan tindak balas yang dizahirkan dikhuatiri akan memberikan implikasi kepada organisasi.

Menyedari hakikat itu, usaha menerapkan nilai murni dan pemantapan diri hendaklah dibuat kepada warga organisasi bagi memastikan setiap anggota mempunyai perasaan menghargai kerja dan mencintai organisasi.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 5:59 AM