FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Kerjaya sebagai agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat lari dan tidak boleh mengelak untuk bekerja dalam satu pasukan kerana ada berbelas jabatan dalam PDRM di bawah satu naungan Pemerintah Tertinggi iaitu Ketua Polis Negara.

Meskipun, setiap jabatan mempunyai fungsi berlainan, tetapi semua ke arah satu objektif, visi dan misi yang sama iaitu mengikut Seksyen 3 (3), Akta Polis 1967 iatu: Pertama, Memelihara Undang-Undang dan  Ketenteraman, Kedua, Mengekalkan Keamanan  dan Keselamatan Malaysia, Ketiga, Mencegah dan Mengesan Penjenayah, Keempat, Menangkap dan  Mendakwa Pesalah dan Kelima, Mengumpul Risikan Keselamatan.

Kejayaan mana-mana organisasi termasuk PDRM bergantung kepada bagaimana ahlinya berkomunikasi dan mengendalikan tugas bersama. Jelaslah, kerja berpasukan adalah bahagian paling penting dalam setiap organisasi kerana boleh berkongsi maklumat, memberikan motivasi serta membantu membuat keputusan lebih baik.

Kajian menunjukkan masalah rumit paling berkesan diselesaikan pasukan membabitkan tiga, empat atau lima orang, berbanding dengan orang yang menangani masalah sama secara bersendirian.

Bahkan, individu berprestasi tinggi tidak mampu menandingi mereka yang bekerja dalam kumpulan. Sesebuah organisasi semestinya mempunyai pekerja dengan pelbagai jenis bakat masing-masing.

Keupayaan kreativiti individu sering membawa kepada hasil terbaik jika disatukan bersama. Apabila setiap kemahiran itu digabung dalam sesi  brain storming, pasukan itu dapat menjana kreativiti bersama dan meningkatkan lagi  peluang mendapatkan penyelesaian atau hasil terbaik.

Pepatah mengatakan 'kalau nak lari laju, lari seorang diri dan kalau nak lari jauh, kerja dalam satu pasukan.'

Daya kreativiti ini akan membawa idea baru untuk kekal berdaya saing dan relevan.  Tanpa inovasi, organisasi semakin ketinggalan berbanding pesaing lain. Syarikat teknologi maklumat besar seperti Apple, Microsoft, dan Facebook dapat kekal di atas dengan mengimbangkan pekerja berbakat dan pekerja berpasukan lalu membentuk creative team mereka tersendiri.

Seperti dalam organisasi PDRM itu sendiri, mereka sering menghadapi pelanggan atau situasi bermasalah. Daripada pening fikir sendiri, semua pengarah dalam setiap jabatan sering mengadakan mesyuarat untuk berkongsi dan berfikir bersama menyelesaikannya.

Maka, strategi itu membuatkan PDRM menjadi semakin mantap, digeruni dan dihormati masyarakat. Natijahnya, saya percaya dengan adanya kerjasama di tempat kerja, semua pekerja di negara ini baik penjawat awam mahupun swasta mampu berfikir di luar kotak. Hasilnya kelak pasti akan memberi impak sangat positif kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam dunia pekerjaan seperti PDRM, kita akan menerima tugas baru hampir setiap hari. Bagi mereka yang mahir, semuanya macam mudah. Tetapi bagi pekerja baru atau kurang cekap selalunya akan gagal memenuhi piagam pelanggan serta kualiti kerja diinginkan apabila bekerja sendirian. Sebaliknya, bekerja secara berkumpulan membolehkan mereka saling menyokong dan membantu antara satu sama lain, sekali gus menjadikan lebih produktif.

Selain mendapat sokongan fizikal, bekerja berkumpulan akan memberikan sokongan moral kepada pekerja. Apabila menghadapi masalah seorang diri, pekerja biasanya akan tumbang sebelum selesai kerja kerana tiada sokongan moral, terutama dalam bidang operasi seperti penyiasatan dan tindakan khas. Jadi, mereka amat memerlukan sokongan moral supaya sentiasa berfikiran positif.

Semasa bekerja dalam pasukan, pekerja umumnya menerima lebih banyak pujian berbanding bekerja sendirian, jadi mereka berasa seperti menyumbang sesuatu yang istimewa dan diakui ramai lalu menaikkan semangat mereka. Jadi, ringankanlah mulut anda untuk mengucapkan 'syabas' atau 'bagus' kepada orang bawahan dan rakan sekerja.

Tambahan lagi, dengan bekerja dalam satu pasukan, pekerja akan membangunkan rasa kekitaan dan komitmen terhadap satu sama lain dalam mencapai matlamat bersama. Justeru, prestasi kerja mereka turut sama meningkat serta menjadikan organisasi itu berjaya.

Kesimpulannya, sama ada kita berada di rumah, sekolah atau di mana saja, kita akan berdepan kesukaran dalam melakukan sesuatu. Tetapi, jangan berputus asa, mintalah bantuan orang lain.

Seperti kereta yang bergerak dengan empat tayar, anda perlukan sokongan daripada orang lain untuk maju. Jadi, cuba bekerja dengan pasukan daripada menghadapi kesukaran bekerja bersendirian.

Menurut  satu kajian khas dilakukan di majalah Inc.com, sebuah majalah bisnes Amerika, latihan pembangunan pasukan adalah cara terbaik untuk membantu pekerja untuk bekerja sebagai satu unit bersatu padu dan memberi tumpuan kepada satu matlamat sama.

Latihan ini harus memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan, meraikan kejayaan, dan mengamalkan kemahiran pasukan. Syarikat perlu memperkenalkan sistem pengiktirafan pekerja. Tetapi, perlu diingat, pengiktirafan ini harus diberikan kepada kumpulan, bukan individu agar tidak timbul isu 'bos pilih kasih.'

Sebagai ketua, anda perlu raikan kejayaan pekerja secara beramai-ramai bukan dengan pihak atasan sahaja. Begitulah dalam pengurusan PDRM masa kini yang seiring dengan masa dan dapat memenuhi tuntutan masyarakat dan pemudahcara kepada kerajaan dalam memastikan setiap individu berasa selamat di kawasan mereka dan negara sejahtera.

Oleh itu, sebagai sebuah organisasi dan jabatan yang unggul, warga PDRM harus bekerja dalam satu pasukan dan jangan ada sedikit pun kebencian di antara jabatan.

Haruslah bekerjasama untuk mencapai objektif kita sebagai penjawat awam dengan kesudahannya, anda akan mempunyai satu unit padu dan mesra serta bersedia membuat keputusan dan menyelesaikan masalah di organisasi mulia ini.

Oleh itu, wujudkan kerjasama di dalam pasukan anda untuk membawa kejayaan.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:15 AM