PETIKAN video menunjukkan Huzir tidak dapat menahan sebak ketika majlis pembubaran pasukan STAFOC. FOTO Twitter Khalid Abu Bakar
PETIKAN video menunjukkan Huzir tidak dapat menahan sebak ketika majlis pembubaran pasukan STAFOC. FOTO Twitter Khalid Abu Bakar
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin

MENGALIR air mata Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) ketika mencabut tanda ‘STAFOC’ pada seragam setiap pegawai dan anggota pasukan itu semalam.

Datuk Huzir Mohamed yang juga Komander STAFOC sejak ditubuhkan, dilihat tidak dapat menahan sebak dan tangisan air mata melalui rakaman video yang tular pada majlis pembubaran pasukan STAFOC, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, semalam, yang diadakan secara tertutup tanpa sebarang liputan media.

Pasukan yang ditubuhkan sejak 1 Januari 2014 itu melalui pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang penubuhannya demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini sentiasa terjamin.

Dia yang kini menjawat jawatan sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah berkata, majlis pembubaran itu adalah sekadar simbolik dikalangan individu-individu yang pernah berada dan bertugas dalam pasukan pasukan STAFOC.

“Sememangnya kami (STAFOC) memang tidak dapat menahan kesedihan yang amat mendalam apabila secara rasminya STAFOC dibubarkan.

“Terlalu banyak perkara pahit dan manis yang wujud dikalangan kami seperti satu keluarga apabila sentiasa bersama-sama menggadai nyawa demi keselamatan masyarakat secara amnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ketika masyarakat tidur dengan nyenyak, pasukan STAFOC berada dalam keadaan dan situasi yang risiko kehilangan nyawa bagi memastikan sebarang elemen jenayah terancang khususnya membabitkan senjata api dan kumpulan kongsi gelap atau kumpulan jenayah terancang dapat dipatahkan.

“Paling mengharukan saya adalah setiap pegawai dan anggota STAFOC ini tidak pernah merungut, membantah dan mengenepikan sebarang arahan yang diberikan meskipun mereka tahu bahawa setiap tugasan yang dilakukan belum tentu menjamin sama ada dapat pulang dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

“Malah mereka bersungguh-sungguh menggadai nyawa dan meninggalkan anak, isteri serta keluarga tersayang sebagai melaksanakan tanggungjawab dalam pasukan STAFOC,” katanya.

Huzir juga berkata semangat juang tinggi atau ‘Esprit De Corps’ ini tidak boleh dijual beli di mana-mana.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rashid yang pernah menjawat Timbalan Komander STAFOC, sejak awal penubuhannya sehingga Mei 2016, berkata, seawal penubuhan pasukan berkenaan ketakutan masyarakat terhadap jenayah terancang atau ‘Fear of Crime’ semakin berkurangan.

Justeru apabila sebarang tindakan atau tugasan khas STAFOC dengan perancangan teliti dan teratur maka ianya membuahkan hasil dengan kejayaan memberansangkan termasuk rampasan senjata api yang diseludup masuk ke negara ini.

“Malah indeks jenayah membabitkan aktiviti kumpulan jenayah terancang juga menurun sekaligus membuatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis semakin meningkat.

“Kunci kejayaan ini adalah disebabkan perkongsian maklumat semua elemen dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sama ada diperingkat Bukit Aman sehinggalah ke peringkat kontinjen dan daerah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pembubaran pasukan berkenaan adalah sesuatu yang amat mengharukan bagi dirinya.

“Saya sedih dan turut menitiskan air mata kerana kami berkerja sebagai satu kumpulan dan ibarat bagai satu keluarga di kala kami menghadapi sasaran yang mempunyai senjata api.

“Semangat dalam pasukan STAFOC ini adalah semangat ‘Blood Brothers’ dan walaupun pasukan ini sudah dibubarkan, jiwa kami adalah jiwa Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Berita berkaitan:

  • STAGG, STING, STAFOC dimansuh
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 5:49 PM