AMY Search menyanyikan lagu Isabella yang liriknya ditulis oleh Bob Lokman di AJL4 1989.
AMY Search menyanyikan lagu Isabella yang liriknya ditulis oleh Bob Lokman di AJL4 1989.
Riadz Radzi


Kebiasaannya dalam setiap lagu, paling mendapat perhatian ialah penyanyinya. Itulah perkara pertama yang peminat ingin tahu. Kemudian barulah siapa pencipta dan penulis liriknya.

Ini perkara biasa bagi segelintir peminat yang tidak mengambil tahu bagaimana proses penciptaan sesebuah lagu.

Malangnya, dalam sesebuah lagu, penulis liriklah paling akhir yang orang akan ambil tahu. Mungkin bukan semua, tapi kebiasaannya begitulah.

Realiti ini berlaku mungkin kerana dalam industri muzik, nama penulis lirik jarang diketengahkan berbanding penyanyi dan pencipta lagu atau komposer.

Tanpa lirik, lagu tidak boleh berdiri sendiri melainkan ia lagu instrumental. Ibaratnya, penulis lirik adalah wira yang tidak didendangkan.

Tidak dinafikan kita memiliki ramai penulis lirik hebat sejak era Allahyarham Tan Sri P Ramlee antaranya Allahyarham S Sudarmaji, Yusnor Ef dan termasuklah P Ramlee sendiri.

Ini diikuti generasi seterusnya seperti Habsah Hassan, Allahyarham Loloq, Allahyarham Juwie, Allahyarham JS Kevin, Allahyarham Zubir Ali, S Amin Shahab, Bob Lokman, Nasir Jani, Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Lukhman S, Amran Omar dan ramai lagi.

Untuk generasi kemudian kita memiliki nama-nama seperti Ad Samad, Iman Imran, Slen, Ishmael MS, Buddhi Hekayat dan beberapa nama lagi. Selain itu, penyanyi dan kumpulan muzik generasi sekarang juga kebanyakannya menulis lirik dan lagu mereka sendiri.

Satu ketika, Anugerah Juara Lagu (AJL) mengiktiraf penulis lirik menerusi kategori Lirik Terbaik bermula AJL yang pertama pada 1986.

Bagaimanapun, ia hanya dipertandingkan hingga AJL ke-7 pada 1992 menerusi lagu Pada Syurga Di Wajahmu yang liriknya ditulis Bob Lokman dan dinyanyikan Nash. Selepas itu sehingga hari ini, kategori Lirik Terbaik tidak lagi dipertandingkan secara berasingan, tetapi dikira sekali dalam penciptaan sebuah lagu.

Selain lagu itu, Bob Lokman turut memenangi kategori sama menerusi lagu Isabella (Search) pada 1989. Penulis lirik lain yang sempat menang ialah Lukhman S (Sekadar Di Pinggiran - Fran), Habsah Hassan (Menaruh Harapan - Zaiton Sameon, Cukuplah Sekali - Jay Jay), S Amin Shahab (Suci Dalam Debu - Iklim) dan M Nasir (Tiara - Kris).

Secara peribadi, saya mahu melihat kategori Lirik Terbaik diwujudkan kembali di AJL bagi memberi pengiktirafan sebenar buat penulis lirik. Bukan mahu mengatakan penganjur, TV3 tidak mengiktiraf penulis lirik, tetapi 'menyelitkan' ia sekali dalam penciptaan lagu seperti kurang sesuai. Ia membuatkan penulis lirik kurang menyerlah kerana dibayangi penyanyi dan pencipta lagu.

Pelakon dan Penulis lirik Bob Lokman kelihatan. FOTO MAHZIR MAT ISA
Pelakon dan Penulis lirik Bob Lokman kelihatan. FOTO MAHZIR MAT ISA

Jika menang, pernahkah kita lihat penulis lirik tampil sebagai orang pertama yang membuat ucapan? Tidak pernah. Biasanya pencipta bersama penyanyi akan tampil dahulu dan penulis lirik hadir sebagai orang ketiga untuk memberi ucapan. Itupun jika cukup masa!

Saya tahu, penjurian sesebuah lagu adalah menyeluruh. Dari segi melodi, gubahan muzik, nyanyian dan juga lirik, tetapi adalah lebih adil jika penulis lirik turut diberi lebih pengiktirafan.

Sebagai contoh, Bob Lokman dikenali dalam industri muzik kerana lirik Isabella yang memenangi kategori Lirik Terbaik AJL pada 1989. Ini bukti kesan daripada pengiktirafan itu. Jika kategori itu tidak dipertandingkan waktu itu, nama Bob Lokman mungkin tidak popular seperti hari ini.

Dalam perkembangan lain, ada yang mengatakan pemergian Loloq, Juwie dan ketidakaktifan S Amin Shahab, Bob Lokman, Nasir Jani dan Habsah Hassan membuatkan kita ketandusan lirik berkualiti.

Penulis lirik Ad Samad dalam satu temubual mempersoalkan kemampuan penulis lirik pada hari ini yang dikatakan tidak kreatif sehingga membuatkan mereka gagal menghasilkan lirik yang baik.

Memang benar hari ini sukar untuk mencari penulis lirik yang menghasilkan lirik puitis dan absurd seperti Loloq, S Amin Shahab atau Zubir Ali, tetapi saya tak menafikan ramai penulis lirik generasi baru juga mampu menghasilkan lirik dengan baik.

Malah, kebanyakan penyanyi atau kumpulan muzik generasi hari ini berkemampuan mencipta lagu dan menulis lirik mereka sendiri.

Lirik lagu Sakit yang dihasilkan Yonnyboii dan Zynakal boleh diketengahkan sebagai lirik yang berkualiti. Begitu juga lagu Apa Khabar tulisan Joe Flizzow.

Mungkin tidak puitis atau mempunyai maksud tersirat seperti karya S Amin Shahab, M Nasir atau JS Kevin, namun mesejnya tetap ada. Penggunaan ayat dan perkataan yang ringkas (kadang-kadang bahasa pasar) sebenarnya menguatkan lagi elemen seninya.

Selain itu, Iman Imran juga antara penulis lirik generasi baru yang mampu menghasilkan lirik berkualiti seperti Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah) dan Terakhir Buat Teman (Hazama & Siti Sarah).

Banyak lagi penulis lirik berbakat dalam industri muzik tempatan. Saya percaya bakat itu tidak akan hilang. Patah tumbuh, hilang berganti.

Sudah sampai masanya penulis lirik mendapat lebih pengiktirafan. Tidak wajar mereka diletakkan sebagai orang di kedudukan ketiga selepas penyanyi dan pencipta lagu.


Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 11:00 AM