MURID Palestin di kelas selepas sekolah di Gaza dibuka semula.
MURID Palestin di kelas selepas sekolah di Gaza dibuka semula.
Nadir Al-Nuri

KALAU anda ditanya bila isu Palestin-Israel bermula, apa yang kalian akan jawab?

Barangkali jawapan yang paling kerap akan didengari ialah ia bermula pada 1948 dalam peristiwa Nakbah atau penghijrahan besar-besaran sekitar 850,000 orang penduduk dari bumi Palestin. Ia jawapan yang salah.

Pada tahun berapa Napolean Bonaparte – yang mahu mendapatkan pinjaman kewangan daripada Rothschild – 'menjemput' penduduk Yahudi untuk berpindah ke bumi Palestin? 1799.

Pada tahun berapa penghijrahan ke Palestin bermula secara jelas? 1880-an.

Pada tahun berapa pula Kongres Zionis Pertama diadakan di Basel, Switzerland? 1897.

Dalam kongres pertama itu dirangka perancangan keperluan melipat gandakan penghijrahan Yahudi ke Palestin, membina penempatan haram, membeli dan mencuri tanah untuk pertanian dan mewujudkan institusi yang bertujuan membantu dan menggalakkan usaha penghijrahan.

Ini bermakna apabila negara haram Israel diwujudkan pada 1948, ia adalah natijah penat lelah dan perancangan rapi sekurang-kurangnya 51 tahun sebelumnya!

Dan kini selepas Israel berusia 73 tahun, bumi Palestin semakin lama semakin lenyap dari peta dunia.

Ia hakikat yang menyedihkan, tetapi air mata tidak akan membebaskan bumi barakah ini.

Umat Islam perlu bangkit dan kebangkitan perlu bermula dengan kesatuan dan perancangan. Barangkali untuk badan kerdil seperti Cinta Gaza Malaysia, usaha penyatuan umat yang dibarahi penyakit 'wahn', cintakan dunia dan gilakan kuasa sangat susah, tetapi sekurang-kurangnya kami boleh merancang ke arah pembebasan.

Justeru, tahun ini akan dimulakan dengan pelan strategik baharu ke arah pembebasan untuk tempoh tiga tahun yang ingin saya kongsikan dengan kalian.

Hari ini badan kebajikan dan NGO tidak boleh terus bekerja menyuap makanan ke mulut sesiapa yang memerlukan tanpa putus sehingga mereka kenyang untuk sehari dua.

Jalan perlu dirintis supaya umat boleh berdiri di atas kaki sendiri - pemuda boleh mendapat hasil daripada keringat dan penat lelah serta bapa tidak perlu malu menunggu ihsan sampai ke pintu rumah supaya anak-anak dapat makan dan bersekolah.

Kerana itu anjakan pertama dan paling besar yang akan kami lakukan dalam tempoh tiga tahun ini ialah mengalihkan 40 peratus sumbangan kalian untuk pengupayaan pemuda dengan membuka peluang pekerjaan melalui Malaysian Business Incubator kita di Gaza.

Bolehkah ia berjaya dalam keadaan ekonomi yang tertutup dan negara yang terkepung?

Percubaan kami tahun lalu membuktikan ada pemuda yang berjaya melakukan jualan berjumlah RM10,000 sebulan melalui kedai kraftangannya dan menggajikan hampir 10 orang di bawahnya!

Tahun ini juga kami akan mula mewujudkan ekosistem yang mapan untuk menghidupkan ekonomi setempat dengan pembangunan ladang ternakan dan tenusu, ladang strawberi dan tanaman, pasar raya dan infrastruktur kesihatan seperti klinik dan farmasi.

Ekosistem ini yang tidak tergugat oleh sekatan ke atas Gaza akan memberikan peluang pekerjaan kepada puluhan penganggur serta khidmat kepada ribuan penduduk.

Di bidang kesedaran dan advokasi pula, dengan penuh insaf kami menyedari bahawa sudah sampai masanya kita bergerak lebih dekat kepada Israel dan mengenali mereka 'luar dan dalam.'

Bayangkan pelajar Israel di peringkat rendah diwajibkan mempelajari Bahasa Arab supaya mengenali 'musuh' mereka, tetapi di Gaza bilangan mereka yang pakar berbahasa Israel boleh dibilang dengan jari.

Justeru Pusat Inisiatif Strategik Palestin-Malaysia (PALM Strategic) kita di Gaza akan memperkasakan pemahaman isu Palestin-Israel kepada khalayak melalui kelas atas talian, penerbitan dan penterjemahan serta kajian dan analisis isu.

PALM Strategic juga berhasrat mencipta sejarah dengan membangunkan silibus Hal Ehwal Israel di Malaysia dengan kerjasama beberapa universiti tempatan.

Selepas masuk tahun kelapan berada di Palestin saya juga terketuk dengan kesedaran bahawa hubungan kita dengan Palestin dan penduduknya tidak boleh dilihat sebagai kelompok yang kuat membantu golongan yang lemah.

Malah, kita adalah ummatun wahidah, satu umat yang sama, tetapi dipisahkan oleh sempadan ciptaan barat.

Maka Pusat Budaya Malaysia kita di Gaza juga akan memainkan fungsinya untuk berkongsi adat dan budaya masyarakat setempat kepada kalian di Malaysia sebagai usaha mendekatkan jarak dan pada masa sama terus mengharumkan nama Malaysia di bumi Palestin ini.

Adakah kalian bersedia untuk berdepan tahun baharu? Jom kita bangkit!

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 6:30 AM