Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru semua negara Islam mengenakan sekatan total terhadap Israel sebagai tindak balas pengumuman sekatan penuh rejim itu ke atas Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, negara-negara Islam perlu menentang sekatan itu selain mendesak Mesir untuk bekerjasama bagi membolehkan bantuan melalui sempadan Rafah- Gaza.

"Israel mengumumkan sekatan sepenuhnya, termasuk menyekat bekalan makanan, air, bahan api dan elektrik ke Gaza. Ini adalah pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan sama dengan jenayah perang. Pengisytiharan perang Netanyahu dan menjadikan Gaza sebagai medan kemusnahan adalah ikrar jenayah untuk memusnahkan Gaza.

"Sekatan selama 17 tahun ke atas Gaza memberi kesan buruk terhadap kehidupan seharian 2.2 juta penduduk di Gaza. Negara-negara Islam juga sudah mengambil tindakan dengan memberi tekanan kepada Israel untuk menarik balik sekatan.

"Dengan tindak balas besar-besaran oleh pejuang Hamas, di bawah Operasi Banjir Al Aqsa untuk menamatkan penjajahan Zionis, Gaza kini menghadapi hukuman kolektif oleh Israel pada tahap bencana manusia.

"Kami menyeru negara-negara Islam untuk menentang sekatan dan mendesak Mesir untuk bekerjasama bagi membolehkan bantuan melalui sempadan Rafah dilakukan," katanya tadi.

Menurutnya, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu menangani segera isu Palestin bukan sahaja dengan kata-kata, tapi dalam tindakan.

Menurutnya, Israel perlu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah kemanusiaan dilakukan.

"Perkara ini mesti diterjemahkan kepada tindakan untuk mengasingkan dan menekan Israel secara maksimum. Rejim Apartheid Afrika Selatan terkeluar selepas 46 tahun perjuangan melalui gerakan penentangan yang kuat di seluruh dunia. Israel boleh ditundukkan dari segi politik dan ekonomi jika negara-negara Islam bersatu dan menamatkan pendudukan Palestin.

"Justeru, negara OIC perlu memfailkan Israel dalam ICJ dan ICC untuk menjalani proses undang-undang antarabangsa yang sewajarnya dan akan didakwa atas jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Menerusi kenyataan sama, Mohd Azmi berkata, Mapim juga menyeru semua negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel termasuk memberi tekanan ke atas Mesir supaya menjauhi Israel dan berusaha ke arah membuka sempadan antara Mesir dan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 12:21 PM