Majlis pertunangan Taufiq dan Farah Azrina berlangsung hari ini.
Majlis pertunangan Taufiq dan Farah Azrina berlangsung hari ini.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Terima kasih kepada PUBG (aplikasi permainan), sebab melaluinya kami berkenalan,".

Demikian kata pelakon, Taufiq Hanafi, 31,  yang hari ini sah bergelar tunang kepada kekasihnya, Farah Azrina, 28, menerusi majlis pertunangan yang berlangsung tengah hari tadi. 

Taufiq ketika dihubungi berkata, dia dan Farah merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan dalam tahun ini. 

"Kalau mengikut perjanjian untuk syarat, kami letakkan setahun untuk tempoh bertunang. 

"Tapi Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, kami nak melangsungkan perkahwinan pada Oktober tahun ini," katanya kepada Harian Metro. 

Berkongsi lebih lanjut mengenai perkenalan kedua-dua mereka, pelakon filem Ola Bola dan Paskal itu tidak pernah menyangka bahawa mereka akan jatuh cinta menerusi aplikasi permainan itu. 

"Sebelum ini, kami kenal dari kawan tapi tak rapat. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua, saya ada muat naik satu status untuk memuat turun semula aplikasi PUBG dan Mobile Legend memandangkan ada banyak masa di rumah. 

"Tak sangka pula, dia antara orang yang komen dan mempelawa saya untuk menyertai pasukannya. Dari situ, kami mula berkawan rapat dan seterusnya jatuh cinta," katanya. 

Majlis pertunangan antara Taufiq dan Farah berlangsung di kediaman keluarga Farah di Rawang dan disaksikan keluarga daripada kedua-dua belah pihak. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 8:30 PM