TABIAT merokok jejas kesihatan gusi.
TABIAT merokok jejas kesihatan gusi.
Zaitie Satibi

MEROKOK dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti barah, paru-paru dan jantung. Namun, tidak ramai yang sedar tabiat merokok memberi kesan kepada tisu gusi.

Perokok lebih banyak terdedah kepada penyakit gusi berbanding mereka yang tidak pernah merokok.

Kajian berkaitan merokok dan penyakit gusi menunjukkan, perokok berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit gusi.

Perokok berdepan risiko empat kali ganda menghidap penyakit gusi yang serius (periodontitis) berbanding individu tidak pernah merokok.

Lebih kuat merokok, lebih teruk penyakit gusi yang dihadapi. Mereka yang masih merokok semasa rawatan penyakit gusi akan mengalami 50 peratus kemerosotan dalam pemulihan berbanding mereka yang tidak merokok.

Selain rokok, mereka yang menghisap curut, paip, menghisap tembakau tanpa asap juga berisiko untuk mendapat penyakit gusi ini.

Kesihatan gusi terjejas apabila tembakau dan nikotin dalam rokok menyebabkan penyempitan salur darah seterusnya mengakibatkan pengurangan bekalan oksigen dan nutrien ke tisu gusi (penyokong gigi).

Merokok juga mengurangkan keupayaan badan bertindak balas melawan jangkitan. Kajian mendapati perokok lebih berisiko mendapat jangkitan bakteria yang menyebabkan penyakit gusi agresif.

Kerajaan juga membuat pelbagai kempen berhenti serta larangan merokok.

Terkini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bermula 1 Januari 2020 iaitu larangan merokok di semua tempat makan termasuk tempat makan terbuka.

Selain itu, penguatkuasaan juga dijalankan di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12(1) (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Di bawah peraturan ini, pemilik hendaklah memastikan premis mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan mempamerkan larangan merokok secara jelas dan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Bagi golongan perokok yang berhasrat u berhenti merokok, mereka dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang disediakan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan seluruh negara.

Mereka juga boleh mendapatkan khidmat itu di fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi.

Perokok akan menghadapi lebih masalah seperti:

a. Karang gigi, iaitu proses pengerasan selaput yang melekat pada permukaan gigi dan hanya boleh dibersihkan dengan rawatan profesional.

b. Poket yang dalam di antara gigi dan gusi.

c. Kehilangan tulang dan tisu penyokong gigi.

d. Penurunan (penyusutan) gusi akan mendedahkan akar gigi. Ia menyebabkan gigi rasa ngilu kepada panas atau sejuk.

d. Tindak balas rawatan yang kurang berkesan dan keberhasilan rawatan gusi tidak dapat dijangkakan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:00 AM