ARINA (dua kanan) bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan Muhammad Alif. FOTO Ihsan Arina Mustafa
ARINA (dua kanan) bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan Muhammad Alif. FOTO Ihsan Arina Mustafa
Redzuan Muharam

Dungun: Aidilfitri tahun ini membawa sinar dan lebih bermakna buat pemilik salun dan kafe, Arina Mustafa apabila dapat bertemu semula adiknya, Muhammad Alif Shafwan, selepas terpisah selama 17 tahun.

Pertemuan itu berlaku pada hari raya ketiga lalu di kafe tempat Muhammad Alif, 20, bekerja.

Menurut Arina, 39, dia sentiasa berdoa semoga dipertemukan Muhammad Alif dan bersyukur kerana Allah SWT memakbulkan doa itu selepas penantian hampir dua dekad.

Berkongsi kisahnya, Arina berkata, dia dan Muhammad Alif terpisah selepas ibu mereka, Tuan Syarifah Aminah Syed Abdullah meninggal dunia akibat kemalangan, 500 meter daripada rumah mereka.

"Waktu itu, Muhammad Alif berusia tiga tahun manakala saya 22 tahun. Kami terpisah selepas Muhammad Alif dan seorang lagi adik, Anis Azati, berumur 18 tahun, dijaga saudara abah (bapa tiri) tidak lama selepas emak meninggal dunia.

"Saya tidak tahu yang Muhammad Alif sebenarnya diambil abah waktu umurnya 11 tahun kerana memang terputus hubungan malah gambarnya pun tiada dalam simpanan.

"Pernah terserempak dengan abah, namun dia tidak menceritakan apa-pun walaupun kami tinggal di daerah sama.

"Lagipun, abah sudah berusia selain ingatannya tidak kuat. Mungkin sebab itu dia tak bercerita.

"Jadi, tak terfikir nak tanya berkaitan Muhammad Alif. Tetapi, dua hari sebelum raya, saya terjumpa abah di kedai alat perkakas dan diberitahu Muhammad Alif ziarah kubur emak," katanya.

ARINA (tengah) dan adik-beradiknya bertemu semula dengan Muhammad Alif pada  hari raya ketiga lalu. FOTO Ihsan Arina Mustafa
ARINA (tengah) dan adik-beradiknya bertemu semula dengan Muhammad Alif pada hari raya ketiga lalu. FOTO Ihsan Arina Mustafa

Bertitik tolak daripada situ, Arina tergerak hati datang beraya ke rumah bapa tirinya pada hari raya ketiga.

Menurut Arina, pada waktu itu, isteri bapa tirinya memaklumkan Muhammad Alif bekerja di kafe yang rupa-rupanya hanya terletak lima minit dari rumahnya.

"Selepas beredar dari rumah abah, saya dengan keluarga terus ke kafe itu dan dapat berjumpa Muhammad Alif.

"Tak terkata waktu itu. Saya terus menangis dan peluk Muhammad Alif kerana tidak sangka akhirnya dapat bertemunya.

"Seolah-olah tidak percaya Muhammad Alif selama ini ada saja di depan mata. Saya pernah makan di kafe tempatnya bekerja, malah Muhammad Alif juga pernah beberapa kali datang membeli makanan di kafe saya.

"Cuma kami tidak kenal antara satu sama lain ketika itu. Aidilfitri kali ini baru Allah SWT izinkan kami berjumpa. Sebagai kakak, saya bersyukur dapat berjumpa semula Muhammad Alif," katanya.

Arina berkata, dia bertanya dengan Muhammad Alif yang memaklumkan dia tidak tahu ada adik-beradik selain Anis Azati.

"Sebelum ini, Muhammad Alif sangka dia anak sulung kerana hanya ada Anis (Anis Azati) dan selepas pertemuan itu, baru dia tahu kisah sebenar.

"Saya tak pasti mengapa abah tidak cerita kisah kami cuma selepas pertemuan dengan Muhammad Alif, kami selalu berjumpa untuk luangkan masa bersama.

"Buat masa ini, saya belum berkesempatan berjumpa Anis dan rancang bertemunya dalam waktu terdekat kerana mahu kumpul semua enam beradik

"Kalau boleh, kami tidak mahu terpisah lagi," katanya yang tidak menyangka perkongsiannya di TikTok tular.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:31 AM