Gambar Isma Alif dikongsikan oleh penyanyi Rozita Rohaizad yang melawatnya.
Gambar Isma Alif dikongsikan oleh penyanyi Rozita Rohaizad yang melawatnya.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Shamsidah Ismail iaitu adik kepada artis serba boleh era 1980-an Isma Aliff, memaklumkan abangnya berada di Hospital Ampang tanpa ditemani oleh mana-mana individu.

Shamsidah, 57, berkata, buat masa ini tiada sesiapa yang menemani abangnya yang sedang menerima rawatan di hospital terbabit.

"Sebelum ini seorang rakan ada menemaninya dalam empat, lima malam, tapi sekarang dia dah balik. Dia pun nak kena jaga emaknya. Saya pula dapat tengok dia pada masa tertentu sahaja.

"Abang Isma ada keluarga. Semua dah diberitahu. Malah di media sosial pun dah dimaklumkan. Dia ada sepasang anak yang dah dewasa. Dah tentu dia rindukan mereka.

"Yang sulung perempuan dah kahwin, manakala yang lelaki usia 24 tahun. Setakat ini mereka belum datang melawatnya. Saya kasihan tengok keadaan abang Isma yang menangis," katanya kepada Harian Metro.

Shamsidah berkata, abangnya tentu mahukan keluarga datang melawatnya seperti juga pesakit lain di hospital.

"Dia perlukan sokongan keluarga. Macam saya hanya bagi setakat termampu kerana saya pun ada keluarga. Dengan emak lagi nak kena pergi tengok.

"Emak memang abang Isma jaga sepanjang masa. Kadang-kadang ada show, dia tolak sebab nak jaga emak yang berusia sekitar 79 tahun," katanya.

Terdahulu, Shamsidah berkata, Isma, 59, ditahan di hospital sejak Jumaat lalu kerana tiba-tiba diserang angin ahmar selepas mengadu sakit kepala selain badannya kebas.

Shamsidah bagaimanapun bersyukur kerana keadaan abangnya kini beransur pulih.

"Setakat ini keadaan abang Isma alhamdulillah. Dah buka tiub kecuali satu tiub oksigen untuk pernafasan. Dia boleh bercakap tapi tak berapa jelas. Dia kenal siapa yang datang melawat.

"Cuma untuk makan bergantung pada susu guna saluran tiub. Dia pun dah pindah ke wad 6D. Saya tak pasti bila boleh keluar kerana masih ada pemeriksaan oleh doktor.

"Bacaan darah tinggi mula okey, normal bawah 150. Ramai kawan-kawan artis datang melawat. Berkat doa mereka datang alhamdulillah keadaannya semakin baik berbanding hari pertama masuk wad," katanya.

Menurutnya, kehadiran mereka beri terapi untuk abangnya.

"Dia tak dapat ketawa besar-besar, dia menangis. Abang Isma suka berbual. Dia nak cuba berbual tapi sekarang ini dia tak payahlah berbual dulu. Dia teruja apabila kawan-kawan datang. Seronok dan sedih semua ada," katanya.

Sebelum ini, keadaan Isma Aliff dilaporkan kritikal dan ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 5:03 PM