Muhammad Hanis dan adik-beradiknya mengaminkan doa di kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Muhammad Hanis dan adik-beradiknya mengaminkan doa di kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Jenazah pelakon veteran, Kamal Bakar, 62, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, di sini, jam 2.20 petang, hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Melaka, di sini, kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

Sebelum itu, jenazah dibawa ke Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, untuk dimandi dan dikafan sebelum disolatkan.

Anak sulungnya yang juga pelakon, Muhammad Hanis, 35, berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka Allahyarham menghidap kanser paru-paru tahap empat.

"Sepanjang sakit, ayah tidak banyak karenah atau meminta-minta. Perubahan dia memang drastik, mungkin rakan-rakan kenal dia baik dan mesra, tapi dengan anak-anak, dia memang tegas.

"Namun, sejak sakit dia jadi sangat-sangat lembut dengan anak-anak. Sampaikan masa nak pergi hospital dia cakap, Hanis, tolong hantar ayah dan saya kata tidak mengapa, ayah tak minta pun kami akan buat," katanya ditemui selepas pengebumian.

Menurut Muhammad Hanis, bapanya sudah lama mengalami sesak nafas, namun tiga minggu lalu keadaannya teruk apabila tidak memberi respon terhadap panggilan.

"Ayah seperti berada dalam dunia sendiri, namun mulutnya sentiasa berzikir. Waktu solat dia tetap akan solat. Dia dengar tetapi tidak memberi respon dengan panggilan hingga emak berasa risau dan meminta saya menghubungi ambulans," katanya.

Muhammad Hanis berkata, bapanya kemudian dirawat di zon merah hospital dan terpaksa ditidurkan pada sebelah malamnya.

"Sampai sekarang saya masih terkejut, namun tetap reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:49 PM