Keadaan Kamal sebelum ditidurkan di Hospital Melaka. Foto ihsan Hanis Kamal
Keadaan Kamal sebelum ditidurkan di Hospital Melaka. Foto ihsan Hanis Kamal
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Kamal Bakar, 62, yang sudah dua minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka akibat kanser paru-paru tahap empat kini dalam keadaan nazak.

Anak sulungnya, Hanis Kamal, 35, berkata ayahnya sekali lagi dijangkiti kuman pada paru-paru dan dimaklumkan oleh doktor supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Keadaan ayah tengah nazak kerana paru-parunya dijangkiti kuman sekali lagi. Kuman merebak sangat cepat sampai tutup semua paru-paru sebelah kiri.

"Masalah strok di otak sebelah kiri juga sudah teruk. Jadi, doktor kata bila-bila masa sahaja jantung ayah akan berhenti," katanya.

Hanis berkata, doktor juga tidak akan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kerana dikhuatiri akan menjejaskan lagi keadaan ayahnya.

"Bila jantung sudah berhenti doktor takkan buat CPR sebab tak nak menyakiti ayah. Kalau buat CPR takut tulang rusuk akan patah dan akan jadi lebih teruk.

"Kami sekeluarga faham situasi ini dan kena reda dengan segala kemungkinan. Sekarang adik-beradik pun sudah berkumpul. Sekiranya jantung ayah berhenti, kami terpaksa reda," katanya.

Pada 3 Jun lalu, Kamal dikejarkan ke Hospital Melaka selepas keluarganya bimbang dengan perubahan sikap termasuk keadaan kesihatan yang semakin merosot ditunjukkan aktor berkenaan.

Selepas dua minggu dimasukkan ke ICU Hospital Melaka, Kamal disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:22 PM