MULTIMEDIA berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak filem berunsur patriotik bagi memupuk rasa cinta terhadap negara.FOTO Amirudin Sahib
MULTIMEDIA berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak filem berunsur patriotik bagi memupuk rasa cinta terhadap negara.FOTO Amirudin Sahib
Najiy Jefri


BAGI menghargai jasa dan sumbangan wira negara, syarikat produksi Multimedia menyalurkan RM150,000 hasil kutipan box office filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa kepada kepada kelab di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Datuk Steven Lim berkata, dia bersyukur dan bangga dengan kejayaan filem itu yang meraih kutipan RM31 juta pada tayangannya tahun lalu.

"Saya boleh mengatakan 2022 adalah tahun yang mencabar untuk Multimedia, namun kita mengharunginya dengan baik dan berjaya menayangkan lima filem.

"Amat membanggakan apabila filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa berjaya medapat kutipan box office sebanyak RM31 juta dan turut memenangi tiga anugerah di Festival Filem Malaysia Ke-32.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi Multimedia iaitu GSC, Astro, Six Fun dan FX Hammer di atas sokongan mereka dalam mencapai kejayaan besar ini. Tidak melupakan jasa TUDM, pengarah, kru, barisan artis dan penaja.

"Melihat kejayaan ini di sini saya ingin mengumumkan sebanyak RM150,000 daripada kutipan box office filem ini akan disumbangkan kepada Kelab Rekreasi Tentera Udara. Terima kasih, wira-wira negara," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam apresiasi Multimedia Entertainment dan sambutan Tahun Baru Cina di sebuah dewan di Bangsar, di sini, baru-baru ini.

Menurut Steven, lembaran 2023 akan menjadi permulaan baik apabila pihaknya bertekad untuk menghasilkan lebih banyak filem berkualiti yang berkisar semangat patriotik, kekeluargaan dan kejayaan kehidupan masyarakat Malaysia.

"Memasuki 2023, Multimedia berazam untuk menghasilkan filem-filem berkualiti dan mempunyai semangat patriotik, kekeluargaan dan kejayaan kehidupan.

"Antaranya filem kepolisan War On Terror dan sebuah karya mengenai perjuangan anggota bomba, Bomba The Movie: Legasi. Saya berharap filem-filem Multimedia ini pecah panggung," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Multimedia, Tan Sri Khalid Abu Bakar menzahirkan rasa terharu selepas melihat seluruh pasukannya berjuang ketika mengharungi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Industri seni tanah air terjejas teruk dan Multimedia pada ketika itu terpaksa menghentikan semua aktiviti penggambaran untuk tempoh tertentu.

SEBANYAK RM150,000 akan disumbangkan kepada Kelab Rekreasi Tentera Udara. FOTO Amirudin Sahib
SEBANYAK RM150,000 akan disumbangkan kepada Kelab Rekreasi Tentera Udara. FOTO Amirudin Sahib

"Situasi ini amat sukar untuk kami semua, namun Multimedia terus berjuang untuk mengharungi pandemik ini dan pada 2022, Multimedia sudah menayangkan lima filem termasuk Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang berjaya meraih kutipan box office.

"Pencapaian ini membakar semangat Multimedia untuk terus menerbit filem berkualiti, bukan saja untuk menarik minat penonton, bahkan meningkatkan imej industri perfileman negara," katanya.

Dalam ucapannya, Khalid memaklumkan Multimedia sudah merancang untuk mengeluarkan lapan filem besar yang bertemakan kedaulatan negara bertujuan memupuk kecintaan rakyat kepada negara.

"Sukacita dan penuh rasa bangga saya ingin mengatakan Multimedia menerima perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghasilkan filem Bomba The Movie: Legasi yang mengisahkan perjuangan anggota bomba dan penyelamat.

"Filem ini sedang dalam pembikinan dan dijangka ditayangkan tahun ini. Selain itu, Multimedia juga akan menghasilkan filem mengisahkan tragedi hitam Lahad Datu, Sabah yang mana 12 perwira negara kita gugur ketika mempertahankan kedaulatan negara daripada serangan pengganas," katanya.

Dalam masa sama, Khalid turut berterima kasih kepada badan beruniform negara yang terbabit dalam usaha pembikinan filem di bawah Multimedia.

"Sesungguhnya, jasa dan bakti anggota keselamatan negara yang tidak ternilai ini sentiasa disanjung dan dikenang.

"Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota angkatan tentera, polis dan bomba yang di atas panduan dan tunjuk ajar dalam membantu menjayakan filem-filem Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 6:23 AM