Nora (kanan) dan anaknya Putri Dahlia.
Nora (kanan) dan anaknya Putri Dahlia.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 49, merestui anaknya Putri Dahlia, 18, meneruskan kerjaya nyanyian selepas semua permohonannya untuk melanjutkan pengajian di universiti tidak berjaya.

Nora berkata, Putri Dahlia sebenarnya sangat berminat menjadi guru bahasa Inggeris, namun dia reda rezeki untuk menyambung pengajian belum kesampaian.

"Sebenarnya dia bercita-cita nak jadi guru bahasa Inggeris memandangkan saya pun selalu baca kita kekurangan guru-guru bahasa Inggeris terutama sekali di luar bandar.

"Sebagai ibu, memang saya sokong bila dia memilih untuk menjadi pendidik kerana ia kerjaya yang sangat mulia. Namun, semua permohonan tidak berjaya. UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris), UiTM (Universiti Teknologi Mara), UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), semua tak dapat.

"Mungkin tak ada rezeki, jangan putus asa. Mungkin kena cuba lagi," katanya.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu juga mendoakan Putri Dahlia memanfaatkan sepenuhnya bakat yang ada. Dia yakin anaknya itu mewarisi bakat suaminya, Allahyarham Johan Nawawi.

"Akhirnya Putri Dahlia fokus kepada nyanyian, mencipta lagu, tulis lirik dan terbitkan lagu. Persis Johan Nawawi.

"Sebagai ibu, saya hanya sokong dan berdoa agar anak yang banyak mewarisi bakat arwah Johan ini berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah," katanya.

Putri Dahlia aktif menghasilkan lagu Inggeris termasuk Set U Free, mi amor, Butterflies dan Old Love. Nyanyiannya juga mendapat perhatian dan sering tular di TikTok.

Paling menarik, lagu Old Love nyanyiannya bersama Yuji mencatat 7.4 juta tontonan selepas dua bulan dimuat naik di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 4:22 PM