ATISHI. FOTO fail AFP
ATISHI. FOTO fail AFP
Agensi

New Delhi: Selepas lima hari menjalankan mogok lapar kerana krisis air di ibu kota India, Menteri Air Delhi, Atishi dirawat di hospital.

Atishi dibawa ke hospital pada pagi semalam selepas paras gulanya merosot jauh di bawah julat normal.

Pemimpin Parti Aam Aadmi (AAP), yang hanya menggunakan satu nama, menuduh negeri jiran, Haryana menyekat bekalan air ke bandar itu.

Namun, Parti Bharatiya Janata (BJP), yang berkuasa di Haryana, menafikan tuduhan itu dan menyalahkan kerajaan AAP atas krisis air.

Ketua AAP, Saurabh Bharadwaj mengesahkan, pemimpin wanita itu tidak menjamah makanan selama lima hari.

"Beliau sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU)," katanya di X.

New Delhi mengalami salah satu musim panas terburuk tahun ini, dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius, selama beberapa minggu.

Keadaan ini membawa kepada lonjakan dalam permintaan untuk penggunaan elektrik dan air.

Dengan bekalan air yang hampir kehabisan, orang ramai terpaksa bergantung kepada air yang dibekalkan lori tangki.

New Delhi dan negeri utara lain termasuk Haryana, bergantung kepada sungai untuk keperluan air mereka.

Pada 1996, mahkamah tertinggi India mengarahkan Haryana untuk menyediakan sebahagian daripada airnya kepada New Delhi, sepanjang tahun, kerana permintaan air minuman yang semakin meningkat di bandar itu.

Namun minggu lalu, Atishi meminta kerajaan Haryana menyalurkan bekalan air tambahan ke bandar itu atas alasan kemanusiaan.

Menteri itu juga mendakwa, sejak tiga minggu lalu, Haryana mengurangkan bekalan air ke ibu negara sebanyak 100 juta gelen sehari.

Kerajaan Haryana pula menuduh New Delhi melakukan salah urus dan mendakwa, pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap krisis air di bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 1:13 PM