Naim Daniel. FOTO AZIAH AZMEE
Naim Daniel. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 27, menyifatkan satu kerugian besar kepada golongan muda sekiranya ditangkap pihak berkuasa dan dipenjarakan hanya kerana penulisan komen tidak sepatutnya di media sosial.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, insiden ibu bapanya yang menerima komen berbaur ugutan bunuh di media sosial baru-baru ini dilakukan seorang pemuda berusia 23 tahun.

"Dua hari selepas saya buat laporan polis berkaitan ugutan bunuh itu, pihak berkuasa dapat menangkap individu terbabit dan kami ada bertemu. Ini kerana ibu saya nak sangat berjumpa dengan pelaku berkenaan.

"Saya tak sangka orangnya masih muda dan berusia 23 tahun, tapi sanggup jadi 'keyboard warrior' kerana mengikut orang lain dengan menulis komen tidak sepatutnya yang membawa dia ke penjara. Ia satu kerugian besar kepada dirinya.

"Hanya sebab awak komen nak ugut bunuh di Instagram Naim Daniel, kena pakai baju lokap dan dipenjara, apa benda ni? Alangkah ruginya awak guna tangan awak untuk berkata-kata tidak sepatutnya di media sosial sampai kena tangkap," katanya kepada Harian Metro.

Naim berkata, hampir tiga jam sesi pertemuan di balai polis dengan pelaku terbabit yang disertai ibu bapanya dan abang sebagai memenuhi hasrat ibu, Nora Taherah yang teringin bersemuka dengan pelaku itu.

"Mama saya sampai mengalami 'anxiety' (kebimbangan) yang teruk pada malam selepas dapat tahu mengenai ugutan bunuh itu. Kasihan sebenarnya dan benda itu (ugutan) memang kacau.

"Jadi, tak perlu melatah buat video marah-marah kepada pelaku terbabit dan saya terus ambil tindakan ke saluran yang betul. Lagi pun, di Malaysia ini ada undang-undang dan kita ikut saja," katanya.

Bersyukur bertindak dengan keputusan yang betul untuk memberi pengajaran kepada orang lain, Naim berkata, sekarang ini dia tidak lagi mendapat komen-komen negatif dan tidak baik daripada netizen di media sosial.

Naim menerima komen berbaur ugutan daripada pengguna media sosial itu berpunca daripada ciapan dibuatnya di X mengenai isu Blockout2024 yang disuarakan.

Terdahulu, gerakan Blockout 2024 demi keadilan Palestin dimulakan pada 6 Mei lalu serentak dengan penganjuran majlis Met Gala 2024 yang juga hari sama Palestin diserang Israel.

Pengguna media sosial di luar negara memboikot selebriti dan pempengaruh yang mempromosi produk pro-Israel dengan menyahikut akaun media sosial mereka.

Sementara di Malaysia, kira-kira 20 selebriti tanah air dinamakan dalam gerakan Blockout 2024 seperti Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Daiyan Trisya, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 1:58 PM