MAHMUD Jumaat. FOTO Shahrul M Zain.
MAHMUD Jumaat. FOTO Shahrul M Zain.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Bersolidariti kepada nasib saudara seagama di Palestin adalah sifat murni, namun perlu berdasarkan kepada had tertentu tanpa tuduhan melulu yang tidak berasas sehingga menjejaskan orang lain.

Ini kerana, semua orang mempunyai had di dalam memberikan pandangan namun masih tertakluk kepada elemen perundangan dalam negara.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, sewajarnya tidak wujud elemen paksaan termasuk ancaman kepada individu yang tidak sealiran pemikiran.

"Ini adalah berkaitan hak asasi dan perlunya kepada kebebasan bersuara. Dari segi perundangan memang tidak salah.

"Namun janganlah sampai menyebabkan kerugian dan menjejaskan kelompok yang tidak sealiran dengan kita atas tuduhan yang dilakukan.

"Berdasarkan undang-undang, seseorang itu boleh dituduh di bawah Akta Fitnah 1957 dan jika wujud unsur intimidasi jenayah pula, individu boleh dituduh di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah, "katanya.

Beliau mengulas Kempen Blockout 2024 yang memulaukan artis yang didakwa tidak menyatakan solidariti terhadap Gaza.

Mahmud berkata, perlu pertimbangan yang rasional dalam segala tindakan yang diambil dan ia memerlukan kepada fakta yang jelas.

"Tidak adil untuk terus melabel dan menuding jari tanpa fakta. Masing-masing ada cara tersendiri dalam menyatakan solidariti kepada apa yang sedang berlaku di Gaza.

"Atas semangat itu, kita perlu bertindak mengikut kesesuaian dan bukannya membuta tuli serta menganggap tindakan boikot yang kita lakukan adalah yang paling tepat,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 1:28 PM