MISHA tampil dengan persembahan hebat dan bertenaga.
MISHA tampil dengan persembahan hebat dan bertenaga.
Norhayati Nordin

KEHEBATAN penyanyi wanita bersuara lunak seperti Misha Omar menghiburkan penonton dalam persembahan nyanyiannya sudah lama dibuktikan. Malah, tiket acara persembahan Misha selalunya laris.

Baru-baru ini Misha juga tampil menjayakan acara hiburan dikenali 'Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner' di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Acara dianjurkan The H Entertainment secara jualan meja dari harga RM300 hingga RM700 itu sebagai inisiatif dalam memberikan sebuah hiburan berbentuk amal buat peminat Misha.

Malah, sebahagian dana terkumpul disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Semerah Padi (PERSEDIM) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) untuk membantu penggiat seni memerlukan.

Terdahulu, persembahan acara malam itu dimulakan dengan nyanyian bakat baharu, Zarol Zarif yang mendendangkan lagu popular Anuar Zain serta memperdengarkan singlenya berjudul Kan Kan.

Kemeriahan diteruskan dengan kemunculan pelakon dan penyanyi, Dafi menerusl lagu popularnya, Bila Terasa Rindu. Meskipun sudah lama menyepi dari radar dunia nyanyian, namun persembahan Dafi tidak menghampakan.

VOKAL lunak Misha sentiasa jadi tarikan penonton.
VOKAL lunak Misha sentiasa jadi tarikan penonton.

Sebagaimana ditunggu-tunggu, Misha akhirnya muncul dengan persalinan busana serba hitam yang menawan. Misha memulakan nyanyian menerusi dua lagunya iaitu Sembunyi serta Dedebu Cinta.

Vokal bertenaga Misha dengan diiringi oleh pemuzik professional tanah air di bawah pimpinan Szewan diteruskan dengan lagu Tanpa Rela. Ia diikuti seterusnya dengan lagu medley Whitney Houston iaitu Run To You, I Have Nothing dan One Moment In Time.

Terus merancakkan persembahamnya, Misha juga menyanyikan lagu runut bunyi (OST) filem pernah dipopularkannya seperti Pulangkan dan Ku Seru sebagai mengembalikan nostalgia penonton.

Tidak hanya menyanyi saja, Misha juga beramah mesra dengan penonton menerusi celoteh manjanya dan lucu yang membuatkan hadirin tersenyum dan ketawa sepanjang persembahan berlangsung.

DAFI tampil menyanyikan lagu Bila Terasa Rindu.
DAFI tampil menyanyikan lagu Bila Terasa Rindu.

BAKAT baharu, penyanyi Zarol Zarif.
BAKAT baharu, penyanyi Zarol Zarif.

Tidak ketinggalan, Misha turut menyanyikan lagu penghibur terkenal negara iaitu Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini serta satu lagu popuar Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Percayalah sebagai 'trek bonus'.

Bagi melengkapkan persembahan penuh indahnya malam itu, Misha turut menyanyikan lagu 'hits' iaitu Sampai Bila berserta rangkaian lagu medley merangkumi Halaman Cinta, Semoga Abadi dan Cinta Adam dan Hawa.

Sebagai penutup persembahan, Misha menyanyikan juga 'lagu keramat' yang pernah meledakkan namanya di persada muzik tanah air iaitu Bunga-Bunga Cinta ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Sementara itu, Pengarah Urusan The H Entertainment, Norazirah Abdul Talip berkata pembahagian untuk sumbangan kepada PAPITA dan PERSEDIM serta golongan yang memerlukan adalah sebanyak lima hingga 10 peratus selepas ditolak semua harga kos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 6:20 AM