MENTOR dan protege masing-masing bersama replika cek.
MENTOR dan protege masing-masing bersama replika cek.
Oleh Michelle Gun


Teka-teki juara Mentor Legend akhirnya terjawab apabila protoge Azmil dan mentornya, Dayang Nurfaizah dinobatkan juara program realiti itu yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah sebuah kereta Proton Iriz.

Mereka turut berkongsi wang tunai RM300,000 serta trofi.

Kemena­ngan bakat kelahiran Tawau, Sabah itu bagaikan sudah dijangka apabila meraih markah penuh daripada juri awam dan pengundi dalam kalangan penonton bagi persembahan ketiganya bersama Mimi One Nation Emcees.

Pernah disingkirkan dan kemudian diserap masuk, anak didik Ella iaitu Aina menduduki tempat kedua. Manakala tempat ketiga disandang protoge Amy Search iaitu Sarah.

Terdahulu, setiap finalis dikehendaki membuat tiga persembahan iaitu secara solo serta duet bersama artis jemputan dan mentor masing-masing.

Pada konsert final itu, Aina dan Ella berduet lagu berjudul Layar Impian dan diikuti persembahan solo lagu Menghitung Hari dan Mencintaimu.

Azmil kemudian berganding dengan Dayang menyanyikan lagu medley Aku Jatuh Cinta dan Menceceh Bujang Lapok diikuti Menanti Sebuah Jawapan secara solo.

Sarah dan Amy tampil berduet lagu medley Isabella dan Pawana. Dia kemudian membuat persembahan solo lagu Dangerously In Love dan Tanpa Kekasihku secara medley.

Bagi persembahan terakhir, ketiga-tiga finalis berduet dengan artis pilihan.

Sarah sekali lagi memilih untuk membuat persembahan medley dalam lagu Ikut Rentakku dan Mercy duet bersama Atilia.

Seterusnya, Azmil berganding dengan Mimi One Nation Emcees untuk menyampaikan lagu Naluri Lelaki.

Persembahan terakhir menyaksikan Aina tampil ke pentas bersama Mila Jirin untuk menyampaikan lagu Fallin.

Ketiga-tiga finalis kemudian berganding untuk menyampaikan lagu medley Senyum dan Malam Ini Kita Punya sebagai lagu bonus.

Turut memeriahkan pentas kemuncak Mentor Legend adalah penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan yang menghiburkan penonton dengan lagu Setelah Kau Tiada dan Harus Terpisah.

Penyanyi itu turut bertindak sebagai juri undangan yang menggantikan Datuk Ramli MS.

Pemain gitar Search, Nordin turut membuat penampilan khas mengiringi persembahan Amy dan Sarah dalam lagu Pawana.

Acara diserikan lagi dengan kehadiran Awal Ashaari selaku pengacara dan Michelle Wee mengendalikan segmen di sebalik tabir pentas Mentor Legend.

Belanja wang untuk keluarga

Mengulas kemenangannya, Azmil atau nama sebenarnya Azmil Karim, 22, mengakui terkejut sebaik mendengar namanya di­umumkan sebagai pemenang kerana merasakan Sarah dan Aina berbakat.

“Tak sangka impian menjadi penyanyi akhirnya tercapai dan menganggap ini berkat keluarga, Dayang serta pasukannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus memberi sokongan, peminat dan juga Bob Mesra yang banyak membantu dalam sesi latihan,” katanya.

Ujar Azmil, dia mahu menggunakan sebahagian wang kemenangan untuk membina rumah di kampung dan juga membiayai perbelanjaan keluarga.

Mengenai hala tuju Azmil selepas ini, Dayang memberitahu dia belum mempunyai perancangan untuk anak didiknya itu, namun akan memastikan dia mempunyai karier dalam industri seni tanah air.

“Walaupun pertandingan sudah tamat bukan bermakna saya akan melepas tangan sepenuhnya.

“Saya akan memastikan bakat Azmil tidak disia-siakan dan berharap dia akan pergi jauh dalam industri muzik,” katanya.

Menyifatkan anak didiknya mudah hilang fokus apabila panik di pentas, Dayang mengakui turut terkejut dengan kemenangan itu.

“Sepanjang pertandingan, prestasi Azmil ada naik dan menurun. Persembahan dia yang paling teruk adalah pada minggu pertama Mentor Legend.

“Namun saya agak terkejut apabila melihat tarian dia pada persembahan final dan gembira dengan usahanya,” katanya.

Penyanyi itu turut menasihati Azmil agar tidak mudah lupa diri dan keluarga, mahupun mensia-siakan peluang serta leka apabila sudah membina nama dalam industri seni nanti.

Persembahan Azmil hebat

Sementara itu, juri tetap dan penasihat vokal, Azmeer berkata, Azmil layak menerima markah penuh kerana menampilkan elemen mengejutkan dalam persembahan.

“Walaupun ada sedikit tersasul, suara Azmil tidak sumbang, malah kesungguhan dia pada persembahan final juga terserlah,” katanya.

Azmeer berkata, Dayang bijak memilih lagu yang bersesuaian untuk protogenya.

“Bukan mudah untuk menggabungkan dua lagu kerana kadang-kadang ia tidak menjadi.

“Malah, gabungan lagu Aku Jatuh Cinta dan Menceceh Bujang Lapok kemas dan kreatif membuatkan juri teruja. Selain itu, tarian Azmil dengan Mimi juga menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 9:40 AM