Achey tidak dapat menahan kesedihan selepas Abam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu. FOTO/ASYRAF HAMZAH
Achey tidak dapat menahan kesedihan selepas Abam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu. FOTO/ASYRAF HAMZAH
Ridzuan Abdul Rahman


SELAIN menjadikan kerjaya seni sebagai sumber rezeki, anggota Bocey, Achey mahu turut bertanggungjawab menyalurkan pendapatan buat isteri dan anak serta ibu Abam selepas ketiadaannya.

Achey berkata, dia bersama Fad akan teruskan kerjaya mereka kerana mengambil semangat Abam.

“Tak terkecuali untuk membantu tanggungjawab yang arwah tinggalkan," katanya.

Achey berkata, Abam mempunyai pelbagai ciri-ciri positif antaranya pandai memasak serta bersedekah terhadap golongan yang memerlukan.

“Dia seorang yang baik dan suka menaikkan perniagaan orang walaupun perniagaan itu hampir tutup. Dia tak berkira langsung dan selagi dia boleh buat kerja dengan lebih baik untuk keluarganya, dia pasti akan lakukan.

“Kami bertiga mempunyai satu hubungan yang melebihi persahabatan dan adik-beradik," katanya.

Achey mengumpamakan hubungan ini ibarat tiada rahsia antara satu sama lain.

“Misalnya kalau kuman hinggap atau jerawat tumbuh pun, dia akan cerita. Kami akan kongsi bertiga. Hubungan ini dibentuk dari tahun ke tahun. Sejak mula-mula kami digabungkan sampailah sekarang.

“Tiada rahsia tertentu yang buat kami kekal sehingga sekarang dan relevan di mata ramai. Bakat kami bertiga dicantumkan sehingga beroleh kejayaan," katanya.

Menurutnya, Abam seorang yang kuat bekerja dan tidak pernah bercuti walaupun sedang sakit.

“Apabila dia pergi, ia merentap separuh jiwa saya dan Fad. Saya berani kata Fad pun mengalami situasi yang sama. Ketika berlawak pula, masing-masing tak ambil hati walau nampak seperti kami 'membahan' dia.

“Tak dinafikan kadang-kadang perkara itu berlaku. Selepas habis program kami berbual-bual dan kemaafan itu timbul," katanya.

Achey bertanya sendiri kepada Abam adakah dia terasa hati dengan lawak mereka dan dia mengakui semuanya okay.

“Tak ada keluar ayat maaf atau apa kerana apabila kami berborak dengannya, itu adalah tanda kemaafan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 11:02 PM