SAMBUTAN Aidilfitri Sabri kali ini amat bermakna dengan kehadiran seorang isteri.
SAMBUTAN Aidilfitri Sabri kali ini amat bermakna dengan kehadiran seorang isteri.
Ridzuan Abdul Rahman


SEJAK dahulu lagi pelakon Sabri Yunus tidak membuat persiapan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dia mengakui tidak pernah menukar langsir semata-mata untuk menyambut Hari Raya.

Pelakon yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini turut berkata, sejak kematian isterinya, Noraya Mohd Yusuf pada 2007, dia hanya meraikan Aidilfitri bersama tiga anak dan menantu sahaja.

Bagaimanapun Aidilfitri kali ini agak berbeza kerana di sampingnya sekarang ialah Ardini Angeline Tan yang dikahwininya pada pada 14 Oktober lalu.

Sabri, 62, dan Ardini Angeline, 57, akan meraikan Aidilfitri buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri di Kelantan.

"Tentunya rasa lebih teruja sebab kali ini bukan saya seorang sahaja ada isteri, anak-anak juga ada emak. Dan adik beradik saya ada kakak ipar, mak saya ada menantu.

"Bermakna Hari Raya bukan sahaja buat kami berdua tapi juga buat keluarga. Saya memang berniat nak balik beraya di Kelantan. Rasanya kemeriahan itu biasa.

"Tapi kemeriahan rasa sebenarnya yang dirasai kami. Saya bawa isteri saya ke rumah saya, Angeline Tan, seorang orang Cina Malaysia. Kalau Cina dari negara China mungkin ada masalah," katanya.

Menurutnya, selama ini isterinya bergaul dengan orang Melayu dan makan apa sahaja yang orang Melayu makan.

Ardini Angeline pula berkata, dia seorang yang simple dan boleh makan apa sahaja masakan Melayu.

"Saya pun tak beli apa-apa sangat persiapan untuk sambut Hari Raya kerana akan memakai baju yang belum atau jarang dipakai sebelum ini.

"Hari Raya bukan alasan untuk berbelanja besar," katanya.

Sabri pula menambah, dia tidak pernah menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur dan memilih beraya di kampung.

"Saya akan beraya dengan anak-anak dahulu. Selepas itu barulah akan bertolak ke Kelantan. Anak-anak juga akan turut serta menaiki kenderaan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 6:45 AM