EDDY adzroy baharom, 44, beriadah bersama ahli keluarga ketika hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar Dataran Merdeka, setelah kerajaan tidak membenarkan aktiviti kunjungan dan ziarah selain hari pertama perayaan di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan virus COVID-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
EDDY adzroy baharom, 44, beriadah bersama ahli keluarga ketika hari kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar Dataran Merdeka, setelah kerajaan tidak membenarkan aktiviti kunjungan dan ziarah selain hari pertama perayaan di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan virus COVID-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


WARGA kota meraikan Aidilfitri tahun ini dalam suasana normal baharu dengan berbaju raya dan merakam gambar bersama keluarga di beberapa lokasi tumpuan di Kuala Lumpur.

Walaupun tidak dapat beraya bersama sanak saudara di kampung tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan larangan pergerakan rentas negeri, tidak bermakna Aidilfitri tidak dapat diraikan dengan meriah.

Bagi kakitangan kerajaan, Barry Hisham Alias, 48, kebiasaannya setiap tahun dia sekeluarga akan pulang ke kampung di Terengganu namun tahun ini tidak dapat dilakukan kerana akur dengan arahan kerajaan.

Menurutnya, kebetulan hari ini sambutan hari lahirnya dan dia bersama isteri serta anak-anak ke Dataran Merdeka untuk bergambar dan merakam kenangan di sini.

"Hari ini kami akan mengambil gambar di sekitar Kuala Lumpur kerana sambutan raya tahun ini agak terbatas dan inilah aktiviti yang dapat dilakukan.

"Lagipun saya ingin bawa anak-anak berjalan kerana sudah dua bulan mereka tidak keluar rumah," katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Barry Hisham berkata, dia bersama isteri, Razana Said, 47 dan empat anak-anak turut menyediakan juadah nasi minyak antara makanan wajib orang Terengganu bagi menyambut Aidilfitri, semalam.

Sementara itu, kakitangan bank, Eddy Adzroy Baharom, 44, pula berkata, kebiasaannya dia sekeluarga akan beraya di Johor atau Negeri Sembilan.

Namun, tahun ini dia hanya menyambut bersama keluarga sendiri di ibu kota.

"Saya, isteri dan tiga anak hanya menyambut Aidilfitri berlima sahaja tahun ini dan tidak melawat ke rumah orang atau menerima tetamu bagi mengelak Covid-19.

"Bagaimanapun tidak meriah raya jika tidak berbaju Melayu dan baju kurung dan kami tetap memakainya hari ini sebelum bergambar bersama di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Eddy Adzroy berkata, anak-anaknya yang pertama kali keluar dari rumah hari ini juga teruja namun langkah penjagaan tetap diambil dengan memakai pelitup muka dan membawa pensanitasi tangan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 2:32 PM