FASHA Sandha. FOTO Hairul Anuar Rahim
FASHA Sandha. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Akibat masing-masing sibuk dengan penggambaran, Fasha Sandha dan suaminya, Aidil Aziz terpaksa berjumpa di tepi jalan sebelum ke lokasi penggambaran masing-masing.

Fasha berkata, ketika Aidil menjalani penggambaran filem Harimau Malaya, dia terbabit dengan penggambaran drama Malang Si Puteri.

"Bila saya baru nak pergi kerja, dia baru nak balik kerja. Jadi, kami berjumpa di tepi jalan. Peluk cium di tepi jalan sebab jadual kerja kami yang 'lari' selama lebih kurang 10 hari.

"Tapi, apa pun, benda itu merapatkan lagi hubungan kami suami isteri sebab tak pernah sampai lebih seminggu dalam situasi begitu. Saya tak pernah sangka kami akan sesibuk itu, berjumpa di tepi jalan, salam sebelum pergi kerja dan sebagainya," katanya.

Walaupun jadual kerja menjadi kekangan utama dalam hubungan rumah tangga mereka, itu tidak pernah menimbulkan penyesalan buat mereka.

"Kami okay saja dan tak pernah menyesal pun. Maksudnya, kami suami isteri kena cari cara terbaik untuk bertemu. Macam orang bercinta.

"Walaupun sekejap, ada juga masa untuk kami. Kadang-kadang kalau dia habis awal, dia datang ke set saya sekejap dan balik. Kesibukan ini mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Ia tak menjarakkan kita sebab kami faham kerja masing-masing," katanya.

Selain menjaga hubungan suami isteri, Fasha juga tidak pernah melupakan hak anak-anaknya untuk bertemu dengan bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai serta keluarganya.

"Baru-baru ini, saya berbuka puasa di rumah keluarga bekas suami. Puan Sri dan Tan Sri masih lagi mentua saya. Ia hubungan yang takkan putus sampai bila-bila. Saya beruntung memiliki mentua yang menyayangi anak-anak saya. Nora pun ada sekali. Saya rasa ini keluarga besar.

"Saya anggap kehidupan saya ini terlalu berwarna. Saya ada ramai keluarga di sebelah Aidil, di Perlis, kemudian sebelah Puan Sri dan Tan Sri masih terima saya sebagai keluarga. Alhamdulillah," katanya.

Menurut Fasha, penting untuk anak-anaknya dari hasil perkahwinan bersama Jejai, Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemaima, 8, untuk melihat keharmonian antara mereka.

"Aidil okay sebab mereka akan jemput saya dan Aidil. Anak-anak perlu menyaksikan ibu bapa mereka harmoni walaupun berpisah. Kita nak anak-anak kita membesar dengan kasih sayang antara keluarga yang takkan putus sampai bila-bila.

"Kalau orang tanya pendapat saya mengenai hubungan antara keluarga yang melalui perceraian, saya akan kata berbaiklah dengan bekas suami sebab anak-anak kena tengok keharmonian. Itu penting untuk kesihatan mental mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:18 PM