Jaafar Onn
Jaafar Onn
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Jaafar Onn, 70, tidak berniat untuk mencari sebarang masalah dengan mana-mana individu apabila menegur artis-artis wanita veteran yang masih belum bertudung.

Jaafar ketika dihubungi berkata, sebagai orang tua, dia hanya menegur dan melakukan tanggungjawabnya.

"Saya bukan sengaja nak mencari masalah. Yang mana patut saya tegur, saya tegur. Janganlah disebabkan saya tegur, orang nak 'banned' saya. Saya tegur sebagai orang tua," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jaafar, sekiranya tegurannya secara umum itu mengguris hati mana-mana pihak, dia meminta maaf.

"Kepada yang terasa hati, saya minta maaf. Teguran saya itu secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Nak terima atau tidak, terpulang kepada diri sendiri. Dulu, saya pernah menegur seorang rakan artis yang sudah bertudung, tapi memakai pakaian dengan warna kulit di bahagian bahu. Bila saya tegur, sampai sekarang dia dah tak tegur saya," katanya.

Menurut Jaafar, dia juga tidak kisah sekiranya tindakannya itu akan membuatkannya disekat di mana-mana platform media sosial.

"Kalau ada yang nak 'block' saya pun, tak apa. Saya tak hairan pun sebab saya tegur dengan baik. Bukan saya mengada-adakan cerita," katanya.

Dalam hantarannya, Jaafar menulis mengenai artis wanita veteran yang tidak bertudung dan dosanya itu ditanggung suami.

"Ramai juga artis veteran yang masih belum berhijab (bertudung). Berhijablah. Suami yang tanggung semua. Apa pendapat anda?" tulisnya.

Terbaru, Jaafar baru sahaja selesai menyiapkan satu skrip drama berjudul Eh, Eh, Lembutnya Dia untuk syarikat produksi Global Station Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:50 PM