ROY bakal tampil dengan karya baharu, berazam tembusi pasaran antarabangsa dengan naskhah hebat.
ROY bakal tampil dengan karya baharu, berazam tembusi pasaran antarabangsa dengan naskhah hebat.
Najiy Jefri


Kejayaan dua filem, Zaara dan Sumpahan Syaitan yang sohor kini di tangga teratas di platform penstriman popular, Netflix membuatkan semangat pengarah, Roy Krishna menghasilkan naskhah hebat semakin berkobar-kobar.

Matlamatnya adalah untuk memastikan filem tempatan mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Roy percaya filem yang baik dan berkualiti mampu menarik minat penonton hatta di pelosok mana sekalipun.

Bakal tampil dengan filem baharu berjudul Pendamping Nafas Terakhir yang memulakan penggambaran tidak lama lagi, Roy kali ini mengutamakan pemilihan pelakon selain bekerjasama dengan produksi berbeza.

"Kali ini, Red Firess Film Production akan bekerjasama dengan Astaka Film Makers. Untuk rekod pernah berkolaborasi dengan pelbagai produksi luar negara seperti Taiwan dan Korea Selatan.

"Pendamping Nafas Terakhir adalah sebuah naskhah 100 peratus seram. Jika sebelum ini ada suntikan elemen komedi, tetapi untuk naskhah ini, kami mahu menghasilkan filem seram bertaraf antarabangsa.

"Penggambaran dijangka mengambil masa 14 bulan termasuk praproduksi kerana filem ini bakal menggunakan banyak kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan tenaga kerja dari dalam serta luar negara," katanya.

Menyentuh mengenai matlamatnya, Roy berkata, sebagai penerbit dan pengarah yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam industri seni perfileman, sudah tiba masanya dia memberanikan diri menembusi pasaran luar negara.

Kongsinya, kejayaan dua filem di Netflix juga menyuntik lebih semangat untuknya, tambahan pula kerjasama dengan produksi berpengalaman membuatkan dia lebih yakin dengan peluang yang terbuka.

"Sejujurnya saya sendiri tidak sangka dua filem itu akan trending nombor satu. Ramai rakan produksi dalam dan luar negara hubungi saya kerana kejayaan terbabit. Gembira, tetapi dalam masa sama, lebih teruja.

"Kita kalau mahu masuk panggung, kena berani. Apatah lagi jika kita mahu menembusi pasaran filem luar negara. Tidak mudah, tetapi saya percaya kita boleh lakukan. Sambutan di platform penstriman juga sangat meyakinkan.

"Saya berharap filem terbitan Red Firess Film Production akan terus mencipta kejayaan di pawagam dan platform penstriman. Tidak hanya di Malaysia, tetapi Brunei, Singapura, Indonesia dan mana tahu, seluruh dunia," katanya.

Selain Pendamping Nafas Terakhir, Roy turut tampil dengan dua filem tahun ini iaitu Maharaja Bomoh dan Batu Syaitan.

Katanya, kecenderungannya lebih kepada menerbit serta mengarahkan naskhah Melayu bergenre seram.

"Saya anak Malaysia, sudah pasti saya mahu memartabatkan filem tempatan. Saya sendiri pernah menerbitkan filem Cina, Melayu dan India.

"Sambutan filem Melayu juga sangat memberangsangkan. Rakyat Malaysia memang suka filem Melayu. Sebab itu saya lebih saya fokus dan senang bekerja dengan produksi lokal untuk menghasilkan filem.

"Melihat industri filem kita, saya sangat bangga. Kita ada ramai pengarah, pelakon yang hebat-hebat. Sebab itu tidak mustahil filem kita akan melakar kejayaan setanding naskhah luar negara," katanya.

Tambahnya, dia juga mahu menjadi pembuka laluan kepada penerbit tempatan lain untuk memasarkan filem lokal ke peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan terkini, Roy memaklumkan, Red Firess Film Production akan mengadakan sesi uji bakat mencari pelakon baharu bagi filem Pendamping Nafas Terakhir di Johor pada April ini."Sesi uji bakat itu terbuka kepada semua yang mahu menceburkan diri dalam bidang lakonan. Sesi uji bakat itu juga akan diadili saya sendiri dan barisan juri yang terdiri daripada pelakon handalan tempatan.

"Kami juga dalam perancangan membawa filem itu ke Korea Selatan dan Taiwan terutama dengan kolaborasi bersama produser Astaka Film Makers Sdn Bhd, Leow Ming Hwee (kanan) dan pembantu produser, Yeo Chia Yuen." katanya yang sudah mengarah lebih 30 filem.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:31 AM