ARON (kiri) dan Ryon (kanan) di samping Layla percaya faktor kejayaan Small Town Heroes di FFM32 adalah elemen perpaduan yang diketengahkannya.
ARON (kiri) dan Ryon (kanan) di samping Layla percaya faktor kejayaan Small Town Heroes di FFM32 adalah elemen perpaduan yang diketengahkannya.
Najiy Jefri


KEJAYAAN filem Small Town Heroes yang merangkul tujuh trofi di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) pada 2 Disember lalu adalah satu pencapaian hebat buat syarikat produksi Lomo Pictures.

Penerbitnya Aron Koh berkata, dia terkejut apabila filem bahasa Mandarin itu melakar sejarah, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk terus aktif dalam industri perfileman.

"Pada awalnya saya tidak begitu yakin filem ini boleh menang sehingga tujuh trofi. Saya hanya meramalkan dua kategori yang mungkin berpihak kepada kami iaitu Pelakon Wanita Harapan dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, tapi tak sangka kami menang lima kategori lain.

"Ini adalah hadiah terindah untuk pasukan produksi Small Town Heroes. Siapa sangka filem yang menggunakan bahasa Mandarin ini diiktiraf di FFM32 baru-baru ini," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan filem itu, Aron berkata, jalan cerita yang dekat dengan masyarakat Malaysia memberi kelebihan kepada karya arahan Ryon itu.

"Menerusi filem ini kami hanya membelanjakan RM1.8 juta untuk keseluruhan produksi. Bagaimanapun, kami percaya nilai perpaduan yang ditampilkan dalam filem ini memberi kelebihan kepada filem ini.

"Kami seboleh-bolehnya mungkin cuba tonjolkan kehidupan masyarakat Malaysia yang hidup aman damai dan harmoni. Malah kami turut mempromosikan keindahan Malaysia yang disifatkan cukup luar biasa dan cantik," katanya Small Town Heroes pernah dihantar dan menerima pencalonan di festival filem luar negara seperti Festival Filem Shanghai dan Anugerah Golden Horse di Taiwan.

Sementara itu, Ryon yang ditemui di pejabat Lomo Pictures turut tidak percaya apabila dirinya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di FFM32.

"Saya mengambil inspirasi kisah Small Town Heroes dari kisah kecil saya yang membesar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ketika kecil saya rapat dengan rakan-rakan dari sebuah rumah anak yatim di kampung saya.

ARON menerusi syarikat produksi miliknya bakal bekerjasama dengan produksi di China bagi menerbitkan sebuah filem seram.
ARON menerusi syarikat produksi miliknya bakal bekerjasama dengan produksi di China bagi menerbitkan sebuah filem seram.

"Jadi, terdetik idea untuk menghasilkan kisah di rumah anak yatim. Selain itu, saya juga cuba tampilkan elemen perpaduan yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia dalam mengekalkan keharmonian negara.

"Disebabkan itu juga saya sengaja tampilkan pelakon Melayu sebagai guru tadika lakonan Layla Sania. Kebetulan dia juga fasih berbahasa Mandarin," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu Aron susulan kejayaan filem Small Town Heroes, Aron berkata, syarikat produksinya bakal menerbitkan sebuah filem seram kerjasama dengan syarikat produksi dari China.

"Sebelum pandemik Covid-19, saya sering bekerjasama dengan produksi di China, Taiwan dan Hong Kong. Tapi, ketika pandemik, mereka tak boleh hadir ke sini, jadi saya banyak hasilkan naskhah untuk tayangan tempatan saja.

"Namun, memandangkan negara kini sudah beransur pulih daripada wabak Covid-19, saya dan produksi di China akan bekerjasama menghasilkan filem seram berkenaan kehilangan kanak-kanak. Tajuknya belum dimuktamadkan kerana kami baharu ada tajuk dalam bahasa Mandarin saja.

"Kami masih mengekalkan Ryon sebagai pengarah kerana perkenalan kami sudah terjalin lebih 15 tahun," katanya.

Sebelum ini Lomo Pictures pernah menghasilkan filem Haunted Hotel yang mengaut RM11 juta dalam tempoh tayangannya di China.

Filem terbabit dijayakan Aom Sushar dari Thailand, Li Chuan dari China dan tiga pelakon tempatan iaitu Teddy Chin, Nadia Aqilah dan Alvin Chong.

Filem bahasa Mandarin hasil kerjasama He Media dari China itu menjadikan lokasi seram, Hotel Amber Court di Genting Highlands sebagai lokasi penggambaran dengan kos anggaran RM4.8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:30 AM