Penerbit dan pengarah drama Lelaki Itu, Erma Fatima. Foto Asyraf Hamzah
Penerbit dan pengarah drama Lelaki Itu, Erma Fatima. Foto Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah drama, Erma Fatima mengakui dia ada banyak cerita berkaitan realiti kehidupan masyarakat ingin dihasilkan, namun bimbang pihak stesen televisyen yang kurang berminat untuk menyiarkannya.

Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 56, ditemui berkata, kebanyakan kisah masyarakat yang mahu diketengahkan itu agak serius dan bergenre berat berikutan penceritaannya dikongsikan pengguna di media sosial.

"Kisah masyarakat ini adalah realiti yang berlaku di luar sana, satu benda keperitan yang sakit saya rasa apabila saya buka media sosial, sebab sebenarnya ada banyak cerita yang saya nak buat.

"Tapi, dibimbangi stesen (televisyen) saja yang tak nak. Sebab ia terlalu serius. Contohnya isu moral di luar sana, kita makin sakit, makin parah terutamanya orang Melayu.

"Kita tak sedih ke tengok berita, bapa 'makan' anak. Sebelum nak baca, selalu harap bukanlah orang Melayu dan Islam, tapi bila buka 'link' hanya mampu ucap Allahuakhbar," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Erma, dengan kisah yang berlaku itu apa kesedaran nak diberikan kepada masyarakat di luar sana terutama isu moral dan akidah yang memang tengah 'sakit' sekarang.

"Tidak semua stesen televisyen nak terima kisah-kisah masyarakat sebegitu. Apapun, saya amat bersyukur pada Allah apabila TV3 ambil drama Lelaki Itu untuk disiarkan.

"Saya sangat bersyukur sebab saya boleh kata ini (Lelaki Itu) bukan cerita seperti Akasia, ini bukan cerita biasa-biasa yang kalian pernah tengok, percayalah cakap saya.

"Selepas episod sembilan pada Jumaat ini (esok) kalian sebagai penonton akan tahu kenapa saya cakap begitu dan saya sangat terkejut apabila TV3 terima naskhah ini sebab isunya berat dan cerita serius, bukan ringan," katanya.

Menurut Erma, mungkin juga sudah tiba masanya pihak stesen televisyen memberi peluang kepada drama-drama berat dihasilkan pengkarya seni untuk disiarkan agar seimbang dengan produk berkisar percintaan.

Terdahulu, Erma ditemui media di Sri Pentas TV3 semalam bagi membicarakan drama Lelaki Itu terbitan Rumah Karya Cinta sebanyak 30 episod di slot Samarinda, jam 10 malam.

Lelaki Itu menemui penonton sejak 19 Mac lalu dibarisi pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf, Hannah Delisha, Nadia Brian, Sophia AlBarakbah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 2:57 PM