PELANCARAN Mak Cun Mart yang berlangsung di Sri Pentas.
PELANCARAN Mak Cun Mart yang berlangsung di Sri Pentas.
Ramlah Zainal


Kisah perjuangan Mak Cun yang membuka pusat sehenti untuk memasarkan produk usahawan desa di Mak Cun Mart adalah tarikan dalam drama bersiri Mak Cun musim ketiga yang bakal bersiaran di TV3 bermula 20 April ini.

Selaku pelakon utama dan Pengarah Urusan Mak Cun Mart, Erma Fatima berkata, musim baru itu diterbitkan berdasarkan kejayaan drama bersiri Mak Cun sebelum ini, sekali gus meneruskan kesinambungan jenama yang pernah mencetuskan fenomena serta memiliki pengikutnya tersendiri.

“Apa yang saya janjikan musim ketiga ini, jalan ceritanya lebih misteri. Penggambaran drama ini juga sudah selesai dan membabitkan lokasi di Amsterdam serta Dubai selama lebih dua bulan.

“Sebagai pelakon utama dan penerbit, saya juga mengharapkan musim ketiga ini lebih bagus dan mendapat rating lebih tinggi dari penonton berbanding dua musim terdahulu,” katanya.

Erma berkata, kejayaan drama bersiri dan jenama Mak Cun juga berkat sokongan semua pihak terutama stesen TV3.

“Pihak stesen TV3 juga menghargai apa yang saya buat. Selain itu, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani banyak memberi kepercayaan, sekali gus pementasan Mak Cun menjadi teater yang paling laris pada tahun itu.

“Mak Cun bukan sekadar drama, tetapi banyak ilmu yang dipelajari dalam bidang perniagaan. Kini, baru saya sedar bagaimana susahnya untuk mengangkat produk usahawan kampung seperti sambal, kicap dan sebagainya untuk menjadi komersial.

“Mak Cun Mart juga akan mula beroperasi di Ukay Perdana bermula 1 Mei nanti,” katanya.

Erma ditemui pada majlis pelancaran Mak Cun Mart yang berlangsung di Sri Pentas, baru-baru ini.

Drama bersiri Mak Cun musim ketiga dan membabitkan 26 episod ini mendapat sentuhan Bade Azmi dan masih mengekalkan barisan pelakon asalnya seperti Erma Fatima, Datin Umie Aida, Balkish Semundur Khan, Nora Danish, Azwan Kombos dan Azizah Mahzan.

Musim baru ini akan dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Abam, Sharifah Shahirah dan Ezzaty Abdullah.

Rancang Mak Cun ke layar lebar

Gara-gara fenomena yang dicetuskan jenama Mak Cun, Erma yang turut memenangi kategori Pelakon Komedi Terbaik, Anugerah Skrin menerusi drama Mak Cun mengakui hidupnya tidak lagi seperti dulu.

Malah, kata Erma, dia juga sudah lama tidak berlakon dan mengarah projek drama bersiri ketika ini.

“Kalau berlakon pun hanya dalam Mak Cun saja. Buat masa ini, fokus saya 99 peratus untuk mengukuhkan lagi jenama Mak Cun.

“Terus terang, saya sudah bosan berlakon dan duduk di lokasi penggambaran sehari suntuk. Namun, ia berbeza dengan Mak Cun yang juga benda baru yang menarik untuk diterokai.

“Pada mulanya, saya memang nak berlakon satu atau dua babak saja dalam telefilem Spain Uolls! dan drama bersiri Ajaibnya Cinta, tetapi pihak TV3 pula yang mahukan watak Mak Cun diketengahkan.

“Justeru daripada hanya 9 episod, drama Mak Cun kini sudah menjadi 26 episod untuk musim ketiga,” katanya.

Selepas kejayaan drama bersiri dan teater, Erma juga merancang mengangkat jenama Mak Cun ke layar lebar selepas ini.

“Sebenarnya, saya sudah merancang untuk menerbitkan filem Mak Cun dua tahun lalu.

Namun, buat masa ini, saya belum ada semangat lagi untuk buat projek filem.

“Selain filem, pihak produksi juga merancang untuk menerbitkan projek animasi Mak Cun nanti,” katanya.

Drama bersiri Mak Cun musim ketiga bakal bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat jam 9 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 12:40 PM