EMMA pada majlis pelancaran Mak Cun's Adventure.
EMMA pada majlis pelancaran Mak Cun's Adventure.
Ramlah Zainal


Selepas mencetuskan fenomena, pengarah dan pelakon Erma Fatima merancang mengembangkan lagi empayar jenama Mak Cun ke tahap lebih tinggi.

Menurut pelakon utama drama bersiri TV popular Mak Cun ini, banyak perancangan untuk mengembangkan empayar Mak Cun termasuk projek filem animasi.

“Selepas pelancaran dunia permainan digital menerusi Mak Cun’s Adventure, pihak kami merancang kembangkan lagi jenama Mak Cun dengan projek filem animasi dan macam-macam lagi.

“Namun, saya perlu habiskan dulu projek drama dan telefilem Mak Cun terlebih dahulu.

“Antaranya drama khas Mak Cun pergi ke London untuk berjumpa kanak-kanak yang pekat dengan dialek Kelantan iaitu Fatimah yang tular di media sosial selepas raya nanti.

“Drama berbentuk travelog ini memaparkan perjalanan solo Mak Cun dari Kuala Lumpur ke London dan Birmingham menaiki kereta api,” katanya.

Erma ditemui pada majlis pelancaran Mak Cun’s Adventure yang berlangsung di Bukit Lanjan, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali.

Ditanya sambutan Mak Cun 4 pula, Erma berkata dia gembira drama itu mendapat sambutan penonton sejak bersiaran di slot Dahlia TV3 setiap Sabtu dan Ahad bermula 7 April lalu.

Selain Erma, Mak Cun 4 menampilkan barisan pelakon seperti Datin Paduka Umie Aida, Datuk Awie, Erra Fazira, Ziana Zain, Aiman Tino dan ramai lagi.

“Drama Mak Cun menyertai New York Fashion Week pula akan ditayangkan untuk edisi khas Aidilfitri nanti.

“Jika ada tawaran dari pihak stesen TV3 untuk buat drama Mak Cun musim kelima, saya tidak akan menolaknya.

“Saya tidak ada masalah untuk kembangkan lagi jalan cerita Mak Cun kerana kisah hidup Mak Cun sendiri sebagai usahawan pun banyak masalah,” katanya.

Papar masalah usahawan Melayu

Bagaimanapun, kata Erma, dia menghasilkan cerita Mak Cun bukan sekadar sajian hiburan sebaliknya ingin menyampaikan mesej kepada usahawan Melayu.

“Saya mahu paparkan masalah dihadapi usahawan Melayu yang mahu hidup senang, tetapi malas bekerja.

“Sifat buruk orang Melayu saya paparkan dalam karakter Manisah.

“Dari sudut lain, saya mahu paparkan kebangkitan orang Melayu dalam dunia perniagaan.

“Selain itu, saya juga paparkan cucu Mak Cun juga hebat dalam Matematik kerana kita tahu pelajar Melayu tidak suka subjek Matematik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 6:39 AM