Erma Fatima
Erma Fatima
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Kita sibuk nak jadi macam Hollywood, Bollywood dan Korea Selatan sehingga hilang imej dan jati diri kita dalam setiap filem yang ingin dihasilkan."

Demikian kata penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima mengenai perkembangan industri perfileman tanah air yang dianggap masih mundur sekali gus tiada perubahan berbanding di awal pembabitannya dalam dunia seni.

"Saya lihat adalah peningkatan sebanyak 10 atau 20 peratus saja. Kita masih mundur sebab kita bukan 'trendsetter', tapi kita adalah 'follower'.

"Kita suka buat cerita mengikut 'trend' semasa. Kita tidak menghasilkan karya yang dirasakan terbaik sekali gus tidak ada kejujuran.

"Ini kerana, kalau ditutup suaranya, kita pun tak tahu adakah itu filem Malaysia kerana tiada nilai budaya yang diangkat," katanya.

Menurut Erma, industri filem Indonesia adalah contoh terbaik untuk diikuti kerana karya yang dihasilkan berpegang teguh kepada budaya.

"Saya cakap bukan sebab saya belajar di sana, tapi kalau kita tengok filem Indonesia kita boleh tahu itu adalah karya dari seberang sebab mereka berpegang kepada budaya," katanya.

Erma berkongsi perkara itu menerusi podcast yang dihoskan pelakon handalan, Datuk Rosyam Noor.

Perkongsian Erma itu menerima maklum balas positif daripada pengikut yang bersetuju dengan pandangan yang diberikan.

"Kita tiada identiti," tulis seorang pengikut.

"Karya Allahyarham Yasmin Ahmad je aku rasa betul-betul ada budaya Malaysia," kata seorang lagi pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 4:22 PM