INSOMNIACKS pertaruh Teman dengan makna penuh mendalam tentang persahabatan.
INSOMNIACKS pertaruh Teman dengan makna penuh mendalam tentang persahabatan.
Ramlah Zainal

Sejak tembus dalam industri hiburan lagu hit mereka kerap menjadi siulan anak muda sekali gus membuktikan irama dibawakan mudah diterima pendengar.

Kini Insomniacks yang dianggotai tiga jejaka tampan iaitu Iqie, Iskandar dan Danial kembali dengan mempertaruhkan lagu baharu berjudul Teman.

Menurut Iqie, melodi muzik dan lirik ditulis olehnya sendiri dan digubah serta dibantu oleh penerbit yang tidak asing lagi bersama Insomniacks iaitu Bajai.

Katanya, idea menghasilkan Teman selepas mendapat tahu peminat sering menjadikan muzik Insomniacks sebagai peneman hidup mereka.

"Lagu ini mengenai sentiasa berada di sisi orang yang kita sayang. Ia ditulis dengan niat untuk menemani mereka yang sukar tidur pada waktu malam.

"Kami mendapat ilham untuk menulis lagu ini selepas ramai peminat memberitahu muzik kami sering menemani mereka dalam pelbagai aktiviti seperti dalam perjalanan ke tempat kerja atau belajar.

"Kami mahu diskografi mengandungi lagu yang boleh menjadi lagu pengantar tidur juga," katanya.

Mengenai proses rakaman lagu itu pula, kata Iqie, ia juga berlangsung dengan mudah dan lancar.

"Ia satu penghormatan buat diri saya kerana dapat bekerja dengan dua bapa saudara yang juga pemuzik berbakat dan berpengalaman dalam industri muzik.

TRIO Insomniacks mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik.
TRIO Insomniacks mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik.

"Lagu Teman dihasilkan dengan visual dan jalan cerita yang menarik daripada segi sinematografi dan visual grafik yang menarik untuk pendengar menghayati bait lagu ini melalui visual pesanan yang mementingkan persahabatan dan sentiasa berada di sisi saat diperlukan," katanya.

Sementara itu, Iskandar pula mengucapkan terima kasih kepada pasukan Unfold Production yang banyak membantu sepanjang proses rakaman video muzik (MV) berkenaan.

"Daripada segi proses rakaman video pula, pengarah Dick Wai dan pasukannya dari Unfold Production banyak membantu kami daripada segi lakonan dan permintaan untuk mewujudkan jalan cerita yang kukuh dan baik," katanya.

Senada dengan rakan seangkatannya, Danial berharap lagu Teman mendapat tempat di hati peminat seperti karya mereka yang terdahulu.

"Saya berharap peminat dapat memahami maksud di sebalik lagu yang penuh bermakna buat kami ini.

"Semoga lagu ini menjadi ikutan dan siulan di konsert bersama peminat kami. Saya juga harap mereka dapat merasai nilai persahabatan yang cuba kami paparkan di dalam video ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 6:30 AM