Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Sepanjang enam tahun terbabit dalam bidang muzik, band yang dianggotai empat anak muda yang dikenali sebagai Insomniacks ini sudah mampu tersenyum lebar dengan pencapaian diraih mereka.

Apatah lagi, EP berjudul Kepala Batu yang dilancarkan pada Julai tahun lalu mendapat sambutan baik peminat termasuk dua lagu dalam album berkenaan iaitu Pulang dan Reminisensi.

Apa yang menarik, kedua-duanya mendapat 'air play' yang tinggi selain Pulang menjadi juara Carta RIM selama 106 minggu.

Disebabkan itu, Insomniacks yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia melancarkan dua lagu itu dalam versi rakaman semula.

Selepas melancarkan lagu Pulang versi rakaman semula tiga bulan lalu, menyusul pula lagu Reminisensi (Reminagined) yang dilancarkan di semua platform muzik digital termasuk video lirik di saluran YouTube Universal Music Malaysia, kelmarin.

DARI kiri: Danial, Gavin, Iskandar dan Iqie
DARI kiri: Danial, Gavin, Iskandar dan Iqie

Insomniacks yang dianggotai Iskandar (bass), Iqie (penyanyi, gitar utama), Danial (gitar kedua) dan Gavin (dram) optimis jika versi rakaman semula lagu ini dapat menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

Iskandar yang mewakili Insomniacks berkata, lagu Reminisensi dipilih untuk versi rakaman semula kerana ia cukup diminati peminat.

"Lagu Reminisensi ini antara lagu yang terdapat dalam album EP kami. Kami ambil keputusan untuk rakam semula lagu ini dengan versi yang berbeza. Genre lagu ini masih sama, cuma dari segi 'vibes', dinamik dan emosi berbeza daripada rakaman sebelum ini.

"Mungkin ramai bertanya kenapa memilih single ini. Sebenarnya, ia juga atas perbincangan bersama syarikat rakaman dan mereka memang nak buat rakaman semula dua lagu iaitu Pulang dan Reminisensi. Selepas Pulang versi rakaman semula dilancarkan, sekarang lagu Reminisensi pula. Ini lagu yang memang mendapat sambutan daripada peminat sehingga sekarang," katanya.

Menurut Iskandar, lagu hasil ciptaan Insomniacks itu mempunyai keunikan tersendiri kerana muzik yang dibawa menjadi identiti mereka.

"Keunikan lagu ini, kami punya muzik tersendiri sekali gus menjadi identiti Insomniacks. Kami tulis lagu ini pun mengikut 'vibes' kami. Pada masa sama, ia menonjolkan muzik yang kami bawa. Dalam erti kata lain, lagu Reminisensi ini adalah jiwa kami.

"Lagu ini bercerita mengenai kenangan lama yang dilalui bersama pasangan. Ia mengimbau memori yang dilalui bersama. Kalau kami pula, ia lebih kepada hubungan persahabatan yang sudah terjalin sejak sekian lama," katanya.

Insomniacks yang semuanya berusia 24 tahun ini juga adalah kawan baik. Maka, tidak hairanlah jika aliran muzik dan keserasian mereka dalam berkarya cukup 'hidup'.

"Kami selesa mencipta dan tulis lagu sendiri. Kami seronok dapat berkarya bersama. Tapi, kami juga terbuka kalau ada mana-mana komposer yang mahu bekerjasama. Kami okey dan tidak ada masalah. Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir.

"Apabila bersama Universal Music pula, mereka pun okey kalau lagu daripada kami. Sebab mereka tahu kami suka tulis lagu. Dalam masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu yang lebih komersial. Jadi, tidak ada masalah mencuba, mana yang terbaik kami terima.

"Bagi semua karya yang pernah dihasilkan lirik adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan kawan. Cuma, ada sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan," katanya.

Berkongsi sasaran dan impian Insomniacks, Iskandar berkata, mereka mahu membawa muzik dan memperkenalkan jenama mereka menerusi siri jelajah di seluruh Malaysia.

"Sasaran kami sejak dari dulu lagi adalah nak menjelajah seluruh Malaysia. Sebelum ini sudah pernah tapi beberapa negeri saja. Jadi, jika keadaan negara sudah membenarkan semua aktiviti, kami mahu teruskan.

"Pada masa sama, sambutan peminat terhadap Insomniacks juga semakin bagus. Apatah lagi kami turut buat sesi siaran langsung 'streaming' setiap Jumaat di YouTube selain mewujudkan kumpulan Telegram, Maniacks. Dari situ mereka lebih mengenali kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:00 AM