INSOMNIACKS tidak tergesa-gesa mengecap perhatian. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
INSOMNIACKS tidak tergesa-gesa mengecap perhatian. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Georgie Joseph

Bergerak sebagai sebuah band memerlukan komitmen sepenuh jiwa serta kepercayaan antara setiap anggota.

Jika gagal mempertahankan dua elemen itu, pasti mampu memecahbelahkan mereka.

Namun bagi band meningkat naik, Insomniacks, mereka tiada pilihan selain terpaksa melekat bersama-sama.

Bahkan, anggotanya Iqie (vokalis dan gitar utama), Wan (bass), Gavin (dram), dan Danial (gitar ritma) rasa ‘kosong’ jika tidak berempat.

Meskipun masing-masing terikat dengan komitmen selain muzik, bukan penghalang buat mereka terus teguh sebagai band.

Sebaliknya, mereka yakin untuk mengecapi kejayaan diimpikan perlu ada pengorbanan tersendiri.

Menurut Iqie, keakraban mereka itulah yang menguatkan lagi semangat Insomniacks untuk memacu kerjaya muzik ke tahap tinggi.

“Bagi kami, kami memang bergantung sesama sendiri di mana setiap anggota ada peranan masing-masing.

“Jika tanpa seorang anggota, memang rasa tidak seimbang dan sangat tidak selesa apabila kami tidak lengkap.

“Maka, kami terpaksa melekat bersama meskipun ada perbezaan komitmen seperti menjadi pelajar dan terpaksa ponteng kelas. Namun itulah pengorbanan yang perlu kami lakukan.

“Ini jalan hidup yang kami pilih sebagai pemuzik, pelajar dan pelbagai lagi komitmen lain,” katanya.

Insomniacks juga berpegang teguh dengan prinsip berkarya mengikut aliran muzik yang dicintai.

Berbanding mengejar untuk membuat lagu yang hit segera, mereka tidak tergesa-gesa mengecap perhatian.

Menurut Iqie, rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk dan masa. Kepuasan sebenar bagi band itu adalah apabila orang sukakan karya mereka.

“Semestinya kami pilih berkarya dengan muzik yang dekat dengan jiwa kami. Setakat ini, lagu yang kami bagi semuanya lagu berdasarkan identiti muzik kami.

“Kalau pendengar menerima dan menyukainya, itu lebih memuaskan.

“Berbanding berkarya sekadar memuaskan hati orang, lebih bermakna jika mereka yang suka dengan apa kami buat.

“Kami tidak tergesa-gesa pun dalam mengejar kejayaan sekelip mata. Itu rezeki masing-masing dalam industri ini dan kami sudah terlalu syukur jika perlahan-lahan ramai mula menerima Insomniacks,” katanya.

Kini aktif mempromosikan single terbaharu berjudul Pulang, band itu juga menyahut cabaran untuk mencuba bakat dalam lakonan.

Bersempena lagu itu, mereka tampil dengan drama web empat episod di YouTube.

Ternyata, pengalaman baharu itu memberikan kepuasan kepada mereka meskipun sekadar suka-suka berlakon.

“Demi membuka mata ramai untuk lagu Pulang, kami sahut cabaran pihak pengurusan untuk tampil dengan drama sendiri. Memandangkan kami tiada ‘drama’ di luar sana, jadi kami sendiri cipta drama.

“Ia bermula daripada muzik video lagu itu di mana pada penghujungnya diletakkan ‘teaser’ untuk membuat peminat bertanya-tanya. Kemudian, barulah disusuli dengan empat episod drama yang mana kami sendiri jadi pelakonnya.

“Kami sendiri memang sangat suka buat kandungan program. Selain jadi watak utama, kami juga bertanggungjawab merancang dan menulis skrip untuk web episod itu.

“Yang pasti, ia bukan untuk mereka gimik. Syukur, ramai yang menyukai plot cerita drama kami itu di YouTube,” katanya.

Berkongsi perancangan karier, Insomniacks juga bakal tampil dengan single baharu dalam tahun ini juga.

Iqie berkata, mereka mahu fokus terlebih dulu terhadap melancarkan single sebelum berfikir untuk keluarkan album penuh.

“Selepas Pulang, kami bercadang untuk melancarkan single baharu tidak lama lagi ,namun belum menetapkan masa yang tepat. Kami juga ada terfikir untuk keluar dengan koleksi lagu kami yang sudah ada.

“Sama ada menerusi EP ataupun album penuh, semuanya masih dalam perancangan. Apa yang pasti, kami akan dahulukan dulu perancangan untuk mengeluarkan single baharu itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 8:04 AM