TAWARAN diterima daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia dianggap satu penghormatan.
TAWARAN diterima daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia dianggap satu penghormatan.
Sudirman Mohd Tahir


Empat anak muda ini punya cita-cita tinggi dalam industri hiburan tanah air. Bukan sahaja mempertaruhkan muzik dibawa, malah mereka yang bergerak dalam band dikenali sebagai Insomniacks ini turut mengetengahkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik.

Tanpa disedari, sudah enam tahun pembabitan mereka sebagai pemuzik. Sepanjang tempoh itu, Insomniacks sudah menghasilkan dua single dan satu album EP yang memuatkan lima lagu.

Mula bertapak menerusi syarikat rakaman Sony Music, 'jodoh' mereka dengan label itu tidak panjang apabila kontrak tamat awal tahun ini, selepas empat tahun bersama.

Namun, bakat besar dimiliki kesemua anggota Insomniacks iaitu Wan Arif Iskandar Adnan (Wan) selaku pemain bass; Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis dan gitar utama; Ahmad Danial Ahmad Roslan (Danial) gitar ritma; dan Gavin Wong (Gavin) dram, terus disambar syarikat rakaman Universal Music Malaysia sejak Mac lalu.

Wan Arif Iskandar yang mewakili Insomniacks berkata, tawaran diterima daripada syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu dianggap sebagai satu penghormatan buat mereka.

"Sejujurnya, kami berasa bangga selain menyifatkan ia satu penghormatan apabila mendapat tawaran daripada pihak Universal Music. Umum mengetahui, mereka memiliki kredibiliti yang baik, berpengalaman luas serta mempunyai ramai artis berbakat dan dikenali.

"Dalam masa sama, tawaran yang datang juga disertakan dengan pelbagai perancangan menarik untuk masa depan band kami. Jadi, kami berasakan ia bagus untuk jenama dan kerjaya muzik Insomniacks pada masa akan datang.

"Paling penting, tawaran mereka itu juga adalah sesuatu yang kami mahukan selama ini. Terutama, dari segi penghasilan lagu. Pendek kata, kami yakin berada di bawah syarikat rakaman ini," katanya.

Menurut Iskandar, kontrak selama tiga tahun itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin di mana sebagai permulaan Insomniacks merancang untuk melancarkan tiga lagu sebelum penghujung tahun ini.

INSOMNIACKS selesa tampil dengan karya lagu ciptaan sendiri.
INSOMNIACKS selesa tampil dengan karya lagu ciptaan sendiri.

"Disebabkan selepas kami menandatangani kontrak bersama Universal Music kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jadi banyak perancangan tergendala. Justeru, apabila aktiviti seni dan hiburan dibenar beroperasi, insya-Allah, kami merancang untuk melancarkan sekurang-kurangnya tiga single tahun ini.

"Ia terdiri daripada dua lagu versi rakaman semula Pulang dan Reminisensi, selepas itu menyusul single baharu. Hala tuju muzik untuk lagu baharu nanti tiada beza dengan kebanyakan single yang pernah dilancarkan.

"Cuma, dari segi bunyi mungkin ada kelainan sedikit kerana kami mahu ia kedengaran lebih 'matang'. Genre pula sama iaitu rock kerana kami masih tak puas dengan muzik sebelum ini," katanya.

Insomniacks yang kesemua anggotanya berusia 24 tahun ini adalah kawan baik. Maka, tidak hairanlah jika aliran muzik dan keserasian mereka dalam berkarya cukup 'hidup'.

"Kami selesa mencipta dan tulis lagu sendiri. Ini kerana, kami seronok dapat berkarya bersama. Tapi, kami juga terbuka kalau ada mana-mana komposer yang mahu bekerjasama. Kami okey dan tidak ada masalah. Macam sebelum ini, kami juga pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir.

"Apabila bersama Universal Music pula, mereka pun okey kalau rakamkan lagu daripada kami. Sebab mereka tahu, kami suka tulis lagu. Dalam masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu-lagu yang lebih komersial. Jadi, tidak ada masalah mencuba mana yang terbaik untuk kami.

"Bagi semua karya yang pernah dihasilkan lirik adalah melalui pengalaman sendiri dan kawan. Cuma, ada sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan," katanya.

Sesuatu yang membanggakan buat Insomniacks juga apabila single Pulang menjadi juara Carta RIM selama 106 minggu.

"Sejujurnya, single ini adalah lagu yang kami cukup banggakan. Sewaktu menulis lagu ini kami sudah berasa ia sangat istimewa. Apabila ia berjaya diterima baik, memang sangat gembira. Sampai sekarang pun masih ramai yang menyukainya.

"Malah, kalau kami bawakan lagu ini ketika persembahan pasti ramai penonton turut menyanyi bersama. Terima kasih kepada semua yang terus menyokong kami. Tanpa sokongan diberi, kami takkan berada pada tahap ini," katanya.

Berkongsi sasaran dan impian Insomniacks, Iskandar berkata, mereka mahu membawa muzik dan memperkenalkan jenama mereka menerusi siri jelajah ke seluruh Malaysia.

"Sasaran kami sejak dari dulu lagi adalah nak menjelajah seluruh Malaysia. Sebelum ini sudah pernah, tapi beberapa negeri sahaja. Jadi, jika keadaan negara sudah membenarkan semua aktiviti, kami mahu teruskan.

"Dalam masa sama, sambutan peminat terhadap Insomniacks juga semakin bagus. Apatah lagi, kami turut buat sesi siaran langsung 'streaming' pada setiap Jumaat di YouTube selain mewujudkan kumpulan Telegram, Maniacks. Dari situ mereka lebih mengenali kami," katanya.

Sementara itu, Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, Insomniacks adalah sebuah band yang unik.

"Antara sebab kami 'mengikat' Insomniacks dengan bernaung di bawah Universal Music adalah mereka penuh keaslian. Kesungguhan dan dedikasi mereka terhadap muzik menarik perhatian kami. Pendek kata, mereka mempunyai ciri-ciri yang kita perhatikan ketika menandatangani artis.

"Sudah pasti kami mempunyai perancangan yang disusun rapi buat mereka. Tidak lama lagi, kami akan melancarkan beberapa single baharu mereka, selain perancangan lebih menarik pada masa akan datang. Berbekalkan bakat besar mereka dalam menghasilkan lagu, kami percaya ia akan membawa kerjaya mereka pergi lebih jauh dan menjadi band terkenal," katanya.

Ditanya sejauh mana keyakinan Universal Music terhadap Insomniacks dalam meneruskan legasi band, Hermond berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberikan peluang dan kerjasama yang terbaik pada setiap artis dinaungi syarikat rakaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:20 AM