INSOMNIACKS dianggotai Iqie, Danial dan Iskandar
INSOMNIACKS dianggotai Iqie, Danial dan Iskandar
Zaara Talita


KEKAL dalam liga tersendiri, kumpulan Insomniacks lebih selesa dengan momentum kerjaya seni dan memilih untuk tidak menggunakan jalan pintas bagi mengecapi populariti.

Tampil dengan single sulung berjudul Pulang, kumpulan yang kini dianggotai tiga anak muda ini menganggap setiap karya ciptaan mereka mempunyai keunikan tersendiri.

Pada 2019, single Pulang mencapai kejayaan apabila muncul juara carta di radio selama 106 minggu, sekali gus diangkat sebagai lagu domestik paling lama dalam carta dan paling banyak distrim pada tahun berkenaan.

Tidak hanya itu, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2015 ini juga menjadi artis tempatan paling banyak distrim pada 2019 melalui aplikasi muzik, Spotify.

Melihat pencapaian itu, terbukti kumpulan dianggotai Iqie, Iskandar dan Danial ini mempunyai tempat tersendiri dalam persada muzik tempatan.

Iqie selaku vokalis pertama mengaku mereka hanya mahu muzik Insomniacks diperkatakan.

"Kami mahu lagu lebih dikenali. Kalau tidak 'meletup', kami cuba buat apa yang terbaik. Tetapi, setakat ini kami meletakkan muzik sebagai perkara pertama.

"Kami mahu mengetengahkan lagu kami sebab seronok buat muzik. Kami sedar apabila kami fokus pada perkara ini saja, kami lebih sukses (berjaya) dan kurang tertekan.

BAND muzik Insomniacks menjadi kegilaan wanita.
BAND muzik Insomniacks menjadi kegilaan wanita.

"Alhamdulillah, setakat ini kami baik-baik saja. Kami lihat peminat juga memahami visi kami (Insomniacks) dengan menghargai karya band ini. Mereka suka melihat kami menjadi diri kami sendiri," katanya.

Jelas Danial atau nama penuhnya Ahmad Danial Ahmad Roslan pula selaku pemain gitar utama berkata, Insomniacks turut menerima permintaan daripada rakan selebriti untuk menghasilkan lagu buat mereka.

Bagaimanapun, mereka memilih untuk memberikan keutamaan kepada perjalanan kerjaya Insomniacks.

Kumpulan Insomniacks yang pada awalnya dianggotai empat anak muda iaitu Wan Arif Iskandar Adnan atau Iskandar selaku pemain bass, Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis, pemain gitar utama, Danial serta Gavin Wong (Gavin) dram, kini hanya tinggal bertiga.

Ia selepas Gavin mengumumkan untuk berehat panjang, sekali gus tidak bersama kumpulan itu lagi.

Turut mewakili kumpulan Insomniacks, Iskandar berkata, mereka menerima keputusan itu dengan berlapang dada walaupun berat hati untuk 'melepaskan' Gavin.

Muncul dengan single terbaharu berjudul Igauan Malam, Insomniacks menghargai peminat yang sering menyokong perjalanan kerjaya mereka.

INSOMNIACKS tampil dengan single Igauan Malam.
INSOMNIACKS tampil dengan single Igauan Malam.

"Kadangkala tidak sangka sambutan yang peminat berikan sangat memberangsangkan. Kami bertiga sangat menghargai sokongan itu dan kata-kata positif mereka (peminat).

"Namun, tidak dinafikan kebanyakan peminat kami adalah perempuan. Tidak kisah apa-apa jantina, yang penting mereka menyokong kerjaya kami," kata Danial pula.

Band muzik yang semakin diminati ramai sejak munculnya single 'Sempurna' pada 14 Februari lalu, difahamkan sudah menyiapkan single baharu mereka, Igauan Malam bersama bantuan penyokong mereka.

"Penulisan lirik lagu Igauan Malam ini mula dibuat sekitar Mac 2020. Ketika itu, kami masih sibuk menyiapkan album 'EP' sulung berjudul Kepala Batu dan sempat menghasilkan bahagian korus lagu saja.

"Kemudian lagu itu disimpan rapi sehingga satu hari ketika sesi siaran langsung di YouTube, kami mengambil keputusan untuk menyiapkan lagu itu bersama-sama penyokong Insomniacks.

"Kami begitu teruja dan seronok dapat bertukar idea dengan mereka. Malah, lirik lagu ini turut dapat disiapkan dengan mesej positif yang cuba disampaikan," kata Iqie.

Insomniacks juga mendapatkan khidmat Taja daripada Meet Uncle Hussein sebagai penerbit untuk menyiapkan proses rakaman single baharu mereka itu.

"Kami melalui proses rakaman dengan Taja. Kerjasama dengannya (Taja) juga bukan kali pertama, sebaliknya banyak lagu kami dihasilkan bersama. Jadi, dia faham apa yang kami mahu dan proses itu berjalan dengan mudah," kata Iqie lagi.

Sementara itu, Iskandar pula berkata, muzik video Igauan Malam menerapkan elemen hantu dan mimpi ngeri bagi menyuntik kelainan terhadap single terbaharu itu.

"Kami membuat muzik video yang agak seram dengan menetapkan elemen hantu dan mimpi ngeri. Apa yang boleh saya katakan penghasilan muzik video ini antara naskhah yang kami banggakan.

"Muzik video Igauan Malam diarahkan rakan baik kami iaitu Thaqif Saadon dan Studio Quasa. Setakat ini, semua muzik video lagu kami bekerjasama dengan Thaqif kerana amat selesa berkerja dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:00 AM