MASDAR bersama rakannya Nizam membuat baik pulih van jenazah di Azam Motor, Banting. FOTO Rohanis Shukri
MASDAR bersama rakannya Nizam membuat baik pulih van jenazah di Azam Motor, Banting. FOTO Rohanis Shukri
Nurul Husna Mahmud

Banting: "Saya berharap 'jariah' dengan memberi khidmat baik pulih kenderaan (van) jenazah secara percuma ini akan kembali kepada saya apabila tiba masanya nanti.

"Kalau tidak pun saya berharap kerja amal dilakukan ini turut memberi kebaikan kepada keluarga, kenalan dan pekerja saya," ujar Pengasas Azam Motor, Mastinah Mohd Sani, 50, pemilik bengkel yang menawarkan servis baik pulih van jenazah masjid di Kuala Langat, Selangor sejak 15 tahun lalu.

Kata Mastinah, dia tiada niat lain dan berharap sumbangan dengan menyelenggara van jenazah dapat membantu meringankan kos operasi masjid terutama surau dan masjid yang memiliki kariah kecil dan dana terhad.

"Saya tergerak untuk memberi khidmat servis percuma apabila menyedari ada masjid atau surau memiliki kekangan dana bagi menyelenggara van jenazah yang sedia uzur.

"Van jenazah yang mereka ada telah berkhidmat puluhan tahun untuk kebajikan kariah. Inilah kenderaan terakhir digunakan untuk membawa jenazah tidak mengira peringkat umur."

"Kalaulah kenderaan 'terakhir' yang uzur ini tidak diselenggara, pastinya urusan perjalanan 'akhir' jenazah juga terganggu.

"Sebagai umat Islam, saya terpanggil untuk tampil menyalurkan bantuan mengikut kapasiti saya yang memiliki perniagaan bengkel kenderaan.

"Malah pekerja juga melakukan kerja baik pulih van jenazah dengan sukarela selain mahu bersama menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Kata Mastinah lagi, van jenazah dihantar ke bengkelnya untuk pelbagai keperluan. Antaranya baik pulih badan luar dan dalam, pemeriksaan rutin Puspakom, penghawa dingin dan juga keranda.

"Walaupun kenderaan ini membawa jenazahnamun ia masih perlu menjalani pemeriksaan seperti kenderaan penumpang yang lain.

"Jika ada kerosakan walaupun membabitkan pendingin hawa di ruang belakang van (menempatkan jenazah) ia mesti dibaiki untuk keselesaan waris yang mengiringi jenazah.'

"Ini akan menjadi bebanan kepada pengurusan masjid apabila tiada van jenazah yang boleh digunakan untuk kariah mereka jika berlaku kematian," katanya.

MASTINAH melihat van jenazah yang sudah dibaik pulih.  FOTO Rohanis Shukri
MASTINAH melihat van jenazah yang sudah dibaik pulih. FOTO Rohanis Shukri

Sudah 'santuni' 100 van jenazah

Tidak kurang 100 van jenazah pernah 'disantuni' bengkel Azam Motor Banting sepanjang 15 tahun memberikan khidmat percuma kepada khariah masjid.

Pengasas Azam Motor Mastinah Mohd Sani, 50, berkata, dia bersyukur dapat terus berbakti atau menyumbang kepada masyarakat melalui dana dijana hasil jualan besi atau tayar terpakai melalui bengkel.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah merayu atau meminta penyumbang luar atau perseorangan untuk kerja kebajikan dijalankan oleh syarikat ini.

"Semuanya adalah hasil daripada jualan besi buruk, bateri dan tayar terpakai dan jumlah nilai sumbangan sejak lebih sedekad lalu."

"Kami baiki (van jenazah) bukan hanya 'servis' (menyelenggara) enjin, pemeriksaan rutin van. Malah kami melakukan kerja menukar van komersial kepada spesifikasi van jenazah," katanya.

Tidak hanya itu, pihaknya juga turut menerima panggilan bagi baik pulih van jenazah rosak dalam perjalanan dan sebagainya.

"Saya juga bersyukur dikurniakan pekerja yang mempunyai niat dan minat sama untuk menyumbang tenaga dalam kerja kebajikan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 12:01 PM