Penyanyi Ungu, Pasha bersama isterinya bercuti di Paris.
Penyanyi Ungu, Pasha bersama isterinya bercuti di Paris.
Agensi

Jakarta: Percutian penyanyi Ungu, Pasha, 45, bersama isterinya, Adelia, 35, di Paris, Perancis bertukar detik hitam apabila Adelia menjadi mangsa ragut dan kehilangan beberapa barangan berharga, semalam.

Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said berkata, antara barangan berharga itu termasuk kad pengenalan dan telefon.

"Beg tangan isteri kena ragut di Paris! Telefon, kad bank, kad kredit, kad pengenalan dan kad insurans semuanya lesap," katanya.

Pasha memaklumkan sudah membuat laporan polis di sana berhubung kes itu. Terdapat juga bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Rakaman CCTV juga nampak jelas wajah peragutnya tetapi hanya polis tempatan saja yang boleh periksa," katanya.

Pasha akui dia tahu kes ragut di bandaraya itu memang tinggi. Bagaimanapun, dia mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila bercuti ke sana.

"Pihak polis beritahu kes ragut dan curi memang sedang tinggi. Jadi berhati-hati jika melancong ke Paris," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:52 AM