Coldplay
Coldplay
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Menunggu artis di luar atau di dalam lokasi konsert serta bermalam di situ adalah dilarang sama sekali ketika konsert Coldplay : Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur pada 22 November ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.

Penganjur, Live Nation Malaysia dalam satu kenyataan berkata, menunggu di lokasi atau kawasan awam berdekatan, mengejar atau duduk di jalanan berdekatan adalah berbahaya kepada artis dan orang awam.

"Ia boleh mengakibatkan kemalangan atau kesulitan membabitkan khalayak awam. Setiap pihak yang terbabit harus menangani sebarang kemalangan atau insiden tercetus disebabkan tindakan sedemikian," katanya.

Penganjur juga menegaskan akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan masalah serta tidak bertanggungjawab jika kemalangan berlaku.

"Artis, penganjur dan pihak lokasi tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan dan insiden akibat daripada tindakan sedemikian.

"Sebarang kelakuan berniat jahat, individu terbabit tidak akan dibenarkan memasuki lokasi persembahan dan mungkin diserahkan kepada pihak polis untuk didakwa," katanya.

Turut dilarang penganjur adalah sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

"Bagi mencipta atmosfera kenangan indah buat semua penonton, mohon beringat mengenai budaya serta sensitiviti tempatan di Malaysia dan elakkan tunjuk prop atau barangan yang akibatkan rasa tidak senang kepada orang lain.

"Mari sama-sama fokus kepada muzik dan keseronokan yang dikongsikan pada acara itu nanti," katanya.

Penebusan gelang tangan akan dibuka pada jam 12 tengah hari pada hari konsert. Penonton harus menunjukkan e-tiket mereka untuk tujuan penebusan itu. Pintu hanya akan dibuka jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 11:06 AM